Monday, July 28, 2008

Pelancaran Laman Web www.ismalina.com

Salam semua.

Alhamudlillah laman web rasmi saya
www.ismalina.com selamat dilancarkan pada hari Sabtu, 26 Julai yang lepas. Saya memang inginkan laman web sendiri kerana saya dapat berhubung dengan lebih ramai lagi orang tanpa perbatasan waktu dan tempat, dan dengan bantuan rakan-rakan, laman web itu akhirnya dapat dilancarkan.

Di laman web tersebut terkandung pelbagai maklumat mengenai aktiviti saya sama ada dalam politik ataupun sosial. Ia juga menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat, terutamanya peluang-peluang pekerjaan melalui program Jom Cari Kerja yang akan bermula Sabtu, 2 Ogos ini di Dewan Komuniti Gombak Setia.

Saya ucapkan jutaan terima kasih tidak terhingga kepada lebih 100 rakan-rakan yang hadir di majlis pelancaran laman web itu yang diadakan dengan cukup meriah di Restoran Rasa Sayang, Kuala Lumpur.

Kehadiran anda semua memberi erti yang cukup besar kepada saya kerana ia melambangkan sokongan ke atas apa yang saya perjuangkan selama ini.

Tidak terhingga kasih saya juga kepada keluarga saya yang datang memberi sokongan, terutamanya suami saya Reezal yang turut menyatakan di majlis itu, sokongan beliau kepada saya untuk bertanding Ketua Puteri UMNO, Disember ini.

Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada ahli-ahli jawatankuasa dan rakan-rakan yang membantu menganjurkan majlis tersebut. Tanpa bantuan anda semua, majlis tidak mungkin akan menjadi sukses.

Akhirnya saya mengharapkan laman web saya itu akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk faedah semua.

Berikut adalah gambar-gambar di majlis berkenaan :













Friday, July 25, 2008

Arah baru perpaduan Melayu?

Saya tidak terkejut apabila berita melaporkan bahawa pucuk pimpinan UMNO dan PAS telah bertemu beberapa kali bagi membincangkan isu-isu membabitkan perpaduan Melayu dan Islam selepas Pilihanraya Umum Ke-12.

Pada saya itu adalah perkara yang cukup wajar dilakukan apabila keputusan pilihanraya berkenaan telah membawa kesan-kesan besar yang mempersoalkan ketuanan dan hak-hak orang Melayu di tanahair sendiri.

Tidak perlu saya huraikan di sini tapi kita boleh lihat sendiri beberapa keputusan pentadbiran di Pulau Pinang dan Selangor jelas tidak menghormati ketuanan dan hak-hak orang Melayu.

Begitu juga dengan kedaulatan agama Islam sebagai agama rasmi telah dicabar acapkali secara terbuka dengan tanpa segan silu atas nama undang-undang dan hak-hak asasi manusia. Jika keputusan memihak kepada mereka, maka sistem perundangan dipuji tetapi jika tidak, kewibawaan mahkamah syariah dikecam hebat.

Itu belum termasuk peruntukan biasiswa, kuota pelajar di institusi pengajian tinggi, subsidi ekonomi dan malah kontrak sosial yang dipegang oleh para pemimpin negara selama ini pun dipersoalkan dan menjadi tajuk perdebatan.

Lebih mendukacitakan, ada juga segelintir golongan Melayu yang turut menyokong tindakan-tindakan ini, atas dasar intelektual atau fahaman liberisme sempit yang tidak bersandarkan faktor-faktor sejarah dan realiti ekonomi.

Maka apa yang dilakukan oleh pucuk pimpinan kedua-dua parti adalah tepat kerana persefahaman perlu wujud jika survival orang Melayu di tanahairnya sendiri ingin dipertahankan.

Ini kerana UMNO dan PAS adalah dua parti politik Melayu yang besar di negara ini dan saya akui memang ada jurang perbezaan pendapat dan matlamat, namun pada saya peredaran masa serta perubahan zaman telah mengecilkan jurang itu, terutamanya di kalangan generasi muda orang Melayu.

Saya berpendapat perkembangan ini sangat menarik dan sebagai ahli parti, saya mengharapkan yang terbaik akan terhasil daripada usaha-usaha pucuk pimpinan demi kebaikan agama, bangsa dan negara.

Wednesday, July 23, 2008

“Wanita ‘Badang’ Lelaki”

Salam semua.
Saya agak tertarik dengan respon yang diberikan oleh salah seorang rakan seperjuangan saya sekitar dahulu di Universiti Islam Antarabangsa, apabila saya mengajukan soalan yang agak retorik bagi sesetengah wanita mahupun lelaki sendiri.

Saya bertanyakan pandangan beliau sebagai lelaki, apakah yang sangat dikagumi oleh beliau berkenaan wanita secara umum. Dan beliau memberikan respon yang berbunyi…. “kekuatan luar biasa, inspirasi, kasih sayang dan sokongan tak berbelah bahagi yang diberikan kepada lelaki. Wanita adalah sumber yang mengimbangkan segala kecelaruan, kesusahan dan keperitan yang sering dialami oleh golongan lelaki”.

Saya berasa begitu bangga dengan jawapan rakan saya tersebut. Sesungguhnya saya sendiri percaya bahawa golongan lelaki sememangnya mengharapkan sokongan psikologikal dan emosional golongan wanita dalam mengwujudkan keseimbangan bagi mewarnakan kehidupan mereka, terutama dalam kehidupan berumahtangga, samalah seperti mana harapan dan impian golongan wanita terhadap mereka.

Saya secara peribadi tidak begitu percaya golongan lelaki hari ini akan terlalu berkira sekiranya isterinya memilih untuk berkerjaya sebagai akauntan atau doktor atau apa jua jenis kerjayapun – selagi dia adalah ‘wanita dalam hidupnya’ dan ‘isteri yang menghargai dirinya sebagai lelaki atau suami’. Malangnya pemahaman sebegitu telah ‘hilang’ dalam kehidupan kebanyakan wanita hari ini.

Wanita mahukan dan lebih suka dirinya dilihat oleh lelaki atau suaminya sebagai seorang yang menduduki kedudukan tinggi dan berkuasa dalam kerjaya, daripada hanya dilihat sebagai ‘wanita’ yang mempunyai sifat-sifat alami (yang pada hakikatnya mempunyai kuasa yang luar biasa) yang sememangnya diperlukan dan sentiasa diharapkan oleh golongan suami.

Realitinya kebanyakan wanita hari ini tidak melihat (atau enggan melihat) diri mereka dalam konteks memberikan bantuan kepada golongan lelaki atau suami mereka. Wanita hari ini telah diracuni fikiran mereka untuk mempercayai bahawa segala usaha ke arah membantu golongan lelaki/suami mestilah dianggap sebagai penindasan, penafian hak atau tunduk kalah kepada ego golongan lelaki.

Saya berasa sangat sedih apabila pandangan yang kurang tepat seperti ini (yang berbaur feminisma) sering dilontarkan oleh golongan wanita di Malaysia sendiri kerana bagi saya ‘interdependence’ (saling kebergantungan) adalah satu elemen penting yang sangat diperlukan oleh lelaki dan wanita bagi membolehkan mereka mengecapi apa yang diidam-idamkan dalam penyatuan kasih sayang mereka iaitu…. kebahagiaan.

Bagi saya wanita adalah ‘badang’ lelaki, yang sering dilupakan oleh wanita sendiri…fikirkan…

Monday, July 21, 2008

Prasyarat Baru Menjadi Pemimpin

Salam semua.

Saya adalah antara jutaan rakyat Malaysia yang terpaku di hadapan televisyen menyaksikan debat di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Ahmad Shabery Cheek, baru-baru ini.

Banyak persoalan dan jawapan dibincangkan sepanjang debat sepanjang satu jam itu dengan masing-masing memberi hujah-hujah yang bernas dan padat. Saya rasa tak perlulah saya ulas panjang-panjang mengenai debat itu kerana masing-masing punya pendapat masing-masing dan nanti kita pula yang akan berdebat.

Tapi yang saya ingin tekankan, berlangsungnya debat itu sebenarnya suatu titik sejarah bagi politik negara ini kerana ia adalah julung-julung kali diadakan di televisyen di antara parti pemerintah dan parti pembangkang yang diadakan secara langsung dan dipancarkan ke seluruh negara untuk tontonan rakyat.

Berlatarbelakangkan senario politik negara, ia memerlukan keberanian yang luar biasa dan persediaan yang teliti sebelum seorang ahli politik mampu untuk berdebat mengenai suatu topik yang hangat seperti kenaikan harga minyak, di pentas terbuka.

Namun yang lebih penting lagi adalah majlis debat itu melambangkan sikap keterbukaan pihak Kerajaan. Ini adalah konsisten dengan kenyataan Pak Lah yang sedia untuk mendengar lebih banyak pendapat dan cadangan daripada semua pihak, termasuk pihak pembangkang demi kebaikan negara.

Malah jika kita teliti sekarang, pihak pembangkang tidak punya alasan untuk mendakwa mereka tidak punya ruang untuk bersuara kerana saya fikir ruang untuk mereka sekarang jauh lebih baik jika dibandingkan 10 tahun lalu.

Selain daripada saluran media perdana, saluran media alternatif menjadi rujukan dengan ratusan laman web, blog dan berita internet yang sentiasa menyediakan pihak pembangkang ruang untuk bersuara, tanpa sebarang kawalan oleh Kerajaan.

Jadi, majlis debat itu pada pendapat saya adalah suatu permulaan yang baik dan diharapkan akan diteruskan lagi dengan tajuk-tajuk menarik untuk kebaikan rakyat.

Ini juga adalah isyarat daripada pucuk pimpinan kepada kita untuk memantapkan lagi kemahiran diri untuk berucap di khalayak ramai, membuat kajian teliti dan bersedia untuk berhujah dengan bernas serta berhemah.

Pada saya ini adalah prasyarat baru untuk menjadi pemimpin yang baik. Persoalannya, adakah kita bersedia untuk menyambut cabaran ini?

Wednesday, July 16, 2008

Perjanjian Pangkor

Salam semua,

Baru-baru ni saya terbaca mengenai “Perjanjian Pangkor 2” di Perak yang disebut-sebut sebagai perjanjian di antara PAS dan DAP yang melarang Menteri Besarnya menyebut atau menyatakan pentadbiran kerajaan negeri adalah kerajaan Islam.

Pada saya, di sinilah keistimewaan semangat permuafakatan Barisan Nasional kerana selama memerintah Negara, isu-isu seperti ini tidak pernah timbul sehingga memerlukan suatu perjanjian dilakukan.

Ini kerana semangat Barisan Nasional adalah atas dasar saling hormat menghormati dan memahami sensitiviti kaum dan agama masing-masing. Dasar ini sudah lama diamalkan sejak barisan pemimpin yang dahulu dan akan terus diamalkan kerana ia adalah salah satu rahsia kepada kemakmuran Negara.

Apa yang berlaku di Perak melihat kerapuhan kerjasama part-parti yang memerintah negeri itu, dan sekiranya beterusan, saya yakin ia tidak mampu untuk bertahan lama. Dalam pada itu, kita harus merenung kembali ke diri kita sekuat mana pula kerjasama kita dengan sahabat-sahabat lain dalam Barisan Nasional? Jangan sampai lagi sekali bila kita sudah terhantuk, baru nak mengadah.

Wednesday, July 9, 2008

Apa Kata Hati

Salam semua,

Apabila ada saja masa terluang, saya akan cuba menghabiskan masa dengan anak-anak, terutamanya dua puteri yang sedang meningkat remaja. Ye lah, peringkat inilah yang kritikal kerana perasaan ingin tahu mereka sangat kuat dan mudah dipengaruhi oleh persekitaran sekeliling. Jadi mereka sangat memerlukan bimbingan yang baik.

Baru-baru ini, saya membawa mereka menonton filem komedi Apa Kata Hati . Anak kedua saya beria-ia sangat nak tengok. Filem ini dibintangi oleh Raja Farah, Farid Kamil, AC Mizal, Awal Shaari dan diarahkan oleh Saw Teong Hin yang turut mengarah filem epik Puteri Gunung Ledang.

Mungkin filem ini tidak sehebat Cinta, tapi ia cukup menghiburkan dan kami tak kering gusi sepanjang menontonnya. Lakonan para pelakonnya sungguh bersahaja dan lucu., terutamanya si bomoh palsu AC Mizal dan Awie yang menjadi lelaki lembut.

Filem ini menceritakan Raja Farah (Elly) berupaya untuk mendengar apa kata hati lelaki-lelaki yang hampir dengan dirinya. Apabila sudah tiada rahsia lagi, pelbagai kisah lucu berlaku.
Mengingatkan kembali filem itu hari ini, terdetik di hati saya yang bagus juga jika saya mempunyai kebolehan seperti Elly itu….hehehe.

Friday, July 4, 2008

Salam Blog Daripada Ina

Salam semua.

Akhirnya saya sudah punya blog sendiri. Saya membuka blog ini bukanlah kerana saya ingin "jump into the bandwagon" atau semata-mata mahu mengikut trend pada masa sekarang. Jika kerana semata-mata ingin mengikut trend, sudah lama saya membuka blog ini. Malah, anak-anak saya yang mempunyai punya blog masing-masing sudah lama menyuruh saya membukanya tapi saya tidak melakukannya sehinggalah sekarang.

Saya membuka blog ini atas desakan rakan-rakan karib yang sering bersama saya dalam pelbagai program sama ada untuk Puteri UMNO ataupun dalam majlis-majlis social serta kemasyarakatan. Ketika bersama mereka, kami sering berbincang pelbagai tajuk dan isu-isu semasa mengenai politik, ekonomi, sosial, keluarga dan lain-lain. Sering perbincangan ini membuka minda dan menjemput pelbagai pendapat yang mengupas setiap isu dengan terperinci.

Rakan-rakan merasakan adalah menjadi suatu kerugian jika perkara-perkara yang dibincangkan secara bernas dan menjadi pemikiran saya hanya terhad menjadi pengetahuan mereka yang bersama ketika itu. Mereka merasakan perkara-perkara ini harus dikongsi dengan lebih ramai lagi.

Pada mulanya agak berat juga hati kerana kesibukan tugas-tugas yang sedia ada membuatkan saya kekurangan masa untuk mencatatkan fikiran dan pendapat saya ke dalam blog. Tapi saya menyedari kebenaran yang dinyatakan oleh rakan-rakan itu dan jika blog ini dapat membantu membentuk pemikiran positif dan menerapkan kepimpinan di kalangan generasi muda, maka ia akan menjadi satu sumbangan daripada saya.

Jadi mulai hari ini yang juga hari lahir saya :), saya akan cuba sedaya upaya untuk mencatatkan fikiran saya di blog ini, terutamanya mengenai isu-isu semasa. Ingin saya tekankan bahawa blog ini adalah catatan peribadi saya dan adalah pandangan saya sendiri sahaja yang tidak mewakili pandangan mana-mana pihak lain atau badan yang saya anggotai.

Catatan saya di blog ini boleh dipetik tapi hendaklah memberi “link” kepada blog ini agar sesiapa yang membacanya boleh merujuk kembali kepada catatan yang asal, supaya tidak timbul sebarang kekeliruan.

Saya sedia menerima komen dan maklumbalas daripada anda yang mengunjungi blog ini kerana saya inginkan wujudnya hubungan hubungan dua hala supaya saya juga tahu apa yang anda fikirkan juga. Dalam memberi komen, lakukan dengan berhemah supaya suasana blog ini sihat dan dapat menjana banyak pemikiran-pemikiran yang positif dan memberi faedah kepada agama, bangsa dan negara.