Thursday, November 20, 2008

Mengenai isu kompromi...

Salam semua,

Hari ini saya dihubungi oleh wartawan berhubung isu kompromi dalam pertandingan untuk jawatan Ketua Puteri UMNO. Saya ditanya sama ada saya sedia untuk berkompromi dengan calon-calon lain yang bertanding untuk jawatan itu, untuk mengelakkan perpecahan di dalam Puteri.

Saya sesungguhnya tidak faham kenapa isu kompromi ini dibangkitkan pada ketika ahli-ahli Puteri sedang melihat semangat demokrasi dan kesedaran mengenai kualiti kepimpinan begitu tinggi di kalangan mereka. Ini adalah senario yang segar dan ini adalah kehendak ahli-ahli di peringkat akar umbi. Mereka mahukan perubahan.

Kenapa harus ditutup mulut suara ahli-ahli ini yang telah membuat pencalonan masing-masing untuk menyuarakan hak dan kehendak mereka? Atas alasan mengekalkan perpaduan? Tapi mungkin kita juga tidak sedar bahawa dengan berkompromi, kita sebenarnya hanya menyapu isu di bawah permaidani, tanpa menyelesaikannya.

Kompromi juga menyekat suara ramai dan apabila ia terus-terusan disekat dengan keputusan hanya dibuat oleh peringkat tertinggi, ia akan hanya menimbulkan kekecewaan dan kemarahan di kalangan ahli-ahli yang akhirnya membuat keputusan untuk memprotes. Protes ini telahpun dikenalpasti salah satu punca kekalahan teruk BN di PRU 12 di mana suara di akar umbi tidak diambil kira, dan keputusan hanya dibuat di peringkat tertinggi.

Inilah juga antara punca perpecahan di dalam parti apabila suara akar umbi tidak didengari dan mereka dianggap "tidak tahu apa-apa" dan fahaman "hanya pemimpin sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk ahli-ahli" dipegang dengan begitu taksub sekali. Ahli-ahli UMNO sekarang bukannya seperti 20 tahun dulu. Kini ramai yang mempunyai tahap pendidikan tinggi, celik IT, kesedaran politik yang tinggi yang membolehkan mereka membuat pertimbangan yang lebih bersifat analitikal, memikirkan apa yang terbaik untuk mereka. Mereka bukan lagi "yes man".

Saya tentunya tidak mahu perkara ini berulang lagi kerana saya mempunyai visi untuk memimpin Puteri membantu UMNO dan BN menawan kembali negeri-negeri yang kini di tangan parti pembangkang. Ahli-ahli mahukan perubahan, dan saya berazam untuk melakukannya.

Saya telahpun dicalonkan oleh ahli-ahli yang menaruh harapan tinggi untuk saya bertanding dan memimpin Puteri UMNO ke arah yang lebih cemerlang. Kenapa harus saya membelakangkan kehendak mereka ini? Saya mesti hormati keputusan mereka.

Maka, in pendirian saya - melainkan ahli-ahli yang telah mencalonkan saya itu membuat keputusan yang berbeza, saya tetap akan bertanding Mac nanti.

Apa yang penting untuk memelihara perpaduan Puteri UMNO bukanlah kompromi, tetapi adab bertanding itu mestilah dijaga dengan mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Tertinggi. Jangan ada politik wang, jangan ada fitnah menfitnah, jangan ada serangan peribadi, jangan hina menghina, jangan ada tikam belakang, jangan telalu taksub dan banyak lagi yang kita boleh fikir sendiri. Kita bukannya budak-budak kecil lagi.

Promosi sahaja visi dan misi, rekod kerja, kebolehan dan kemahiran masing-masing supaya ahli-ahli dapat membuat pilihan yang tepat dan terbaik untuk memimpin mereka. Ini yang perlu dilakukan. Promote positive things!

Jika adab bertanding ini dijaga, saya yakin perpaduan Puteri UMNO akan terus utuh. Pemikiran ahli-ahli akan bertambah matang, dan demokorasi yang kita junjung dalam perlembagaan akan terus segar.


Sunday, November 16, 2008

Mencari titik persamaan...

Salam semua,

Saya sering ditanya adakah kemungkinan untuk Puteri UMNO bekerjasama dengan Dewan Muslimat PAS. Jawapan saya sentiasa konsisten iaitu demi kebaikan agama, bangsa dan negara, saya tidak akan menolak idea untuk bekerjsama dengan mana-mana pihak pun. Ini adalah untuk kebaikan dan saya sentiasa suka melihat titik-titik persamaan dengan mana-mana pihak pun sebagai landasan kerjasama daripada membahaskan perbezaan.

Jadi, saya sangat gembira apabila melihat Sekretariat Pembelaan dan Perkasaan Wanita Islam (Senada) dan Dewan Muslimat PAS memeterai kerjasama untuk bersama-sama bekerja demi faedah dan kebaikan wanita Islam di Malaysia. Pengerusi Senada, Dato' Seri Shahrizat Jalil yang juga Naib Ketua Wanita UMNO dan Ketua Dewan Wanita Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh berkongsi objektif yang sama dalam hal ini. Jelas dua pemimpin wanita ini mempunyai visi yang cukup jauh dan berjiwa besar.

Saya melihat ini adalah suatu perkembangan positif dalam senario politik negara di mana kita boleh merentasi perbezaan pendapat dan ideologi untuk mencapai suatu tujuan yang murni.

Di ketika rakyat memerlukan bantuan dan sokongan daripada pemimpin-pemimpin mereka baik di kalangan pemerintah ataupun pembangkang, adakalanya kita harus membelakangkan fahaman masing-masing supaya dapat bersama-sama membantu rakyat yang masalah mereka adalah "real" dan mereka tidak peduli siapa kita. Apa yang mereka tahu, kita telahpun dilantik untuk memimpin, dan tanggungjawab kita untuk membantu.

Saya mengharapkan lebih banyak kerjasama akan terjalin dengan pihak-pihak yang lain kerana pada saya ketika ini, membahaskan perbezaan kita bukanlah keutamaan, tetapi menangani permasalahan rakyat yang kian tertekan, terutamanya masalah ekonomi adalah menjadi keutamaan kita sebagai pemimpin.


Friday, November 14, 2008

Tahniah Awliya...

Salam semua,

Saya ingin berkongsi kegembiraan saya yang puteri sulung saya, Awliya berjaya mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini. Ucap tahniah saya kepadanya. Saya sangat bersyukur di atas kejayaan Awliya ini kerana saya agak bimbang juga berikutan tidak selalu dapat bersamanya membuat persediaan menghadapi peperiksaan itu.

Namun sikap berdikari dan tanggungjawab yang mengalir di dalam dirinya terbukti dengan kejayaan ini. Buat Awliya, ini adalah kejayaan kecil dan masih lagi banyak cabaran yang perlu diharungi di dalam dunia akademik ini. Bagaimanapun, sementara menunggu hari itu, just enjoy the sweet success now :).


Tuesday, November 11, 2008

Kepercayaan anda tidak akan disia-siakan...

Salam semua,

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah mencalonkan saya untuk bertanding bagi jawatan Ketua Puteri UMNO tahun depan. Dengan pencalonan yang diberikan kepada saya, ia memberi keyakinan bahawa keputusan saya untuk menawarkan diri untuk memimpin Puteri UMNO, adalah tepat.

Saya sangat menghormati pencalonan yang diberikan dan saya berjanji tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang telah diberikan. Sehubungan itu, tidak timbul persoalan yang saya akan menarik diri daripada pertandingan ini.

Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, saya akan terus-terusan untuk berkempen dan turun ke padang untuk berjumpa ahli-ahli Puteri bagi menerangkan perancangan dan rangka kerja yang telah saya sediakan untuk Puteri jika diberi peluang untuk memimpinnya.

Saya percaya Puteri mempunyai potensi yang sangat besar, apatah lagi untuk melaksanakan misi utama kita iaitu untuk menawan kembali negeri-negeri yang ketika ini diperintah oleh parti-parti pembangkang, dalam PRU13 yang akan datang. Saya punya perancangan untuk menambah lagi bilangan ahli Puteri dan juga cara-cara untuk menambat hati pengundi-pengundi kita, terutamanya di kalangan golongan muda.

Saya juga mempunyai pelbagai perancangan untuk menjadikan Puteri terus relevan dan dinamik termasuk menangani isu-isu pendidikan, sosial dan ekonomi melalui program-program dengan sasaran yang realistik.

Saya akan huraikan lebih terperinci dari semasa ke sama di blog ini dan tentunya ketika kita bertemu nanti di pertemuan-pertemuan yang akan datang. Dalam pada yang sama, saya sangat-sangat alu-alukan jika sesiapa sahaja di kalangan Puteri yang ingin bertanya apa sahaja ataupun hubungi saya dengan e-mel di pu3ina@yahoo.com ataupun telefon bimbit saya di 012-3373311.


Saturday, November 8, 2008

Kesan Obama...

Salam semua,

Saya rasa masih belum terlewat untuk saya mengulas sedikit mengenai kejayaan Barrack Obama yang baru sahaja memenangi jawatan Presiden AS. Kejayaan Obama dikatakan mencerminkan perubahan besar kehendak rakyat AS yang kini berada di dalam krisis ekonomi yang teruk selain daripada moral yang rendah berikutan penglibatan negara itu dalam banyak peperangan ciptaan mereka sendiri, yang telah mengorbankan ribuan nyawa rakyat itu.

Saya ikuti perjalanan Obama ke White House dengan penuh minat sejak dia mula berkempen menentang Hillary Clinton bagi mewakili parti Demokrat untuk pertandingan jawatan Presiden AS. Ketika itu kedua-dua calon Demokrat cukup menarik di hati saya kerana jika Clinton menang, dia akan menjadi calon Presiden AS wanita yang pertama - wow, seorang wanita memimpin AS. Dan jika Obama menang ketika itu, dia akan jadi calon Presiden AS pertama berkulit hitam.

Dengan dua pilihan calon yang cukup baik, parti Demokrat sememangnya menguntungkan dan seterusnya Obama menang, dan kini muncul sebagai Presiden AS yang pertama berkulit hitam.

Tidak dapat dinafikan bahawa Obama adalah seorang pemimpin yang berkarisma, cukup meyakinkan bila berada di atas pentas. Ucapan dan manifestonya cukup jelas ingin membuat perubahan besar untuk negaranya. Dan ini memang seiring dengan kehendak rakyat AS yang inginkan perubahan lalu memilihnya.

Selepas kemenangan Obama, analisis demi analisis dilakukan ke atas rahsia kejayaannya yang dikatakan telah meroboh tembok warna kulit, sesuatu yang dikatakan cukup tebal di kalangan golongan kulit putih, majoriti rakyat AS. Antara analisis yang menarik perhatian saya ialah undian terbanyak Obama datangnya daripada pengundi golongan muda. Mereka ini dilabel sebagai generasi Y yang lahir dalam dunia digital, suatu dunia virtual yang merentasi sempadan sosial, politik, agama, geografi dan budaya.

Obama jelas mengenali generasi ini dan memahami kehendak mereka yang sudah mual dengan pentadbiran kerajaan AS yang dahulu berlagak menjadi polis dunia dan pembuli ke atas negara-negara kecil tidak bermaya. Generasi ini juga jelak dengan keangkuhan ahli-ahli politik berfikiran lama yang masih lagi dibelenggu dengan cara politik lama dan konservatif.

Saya tidak dapat tidak mengaitkan bahawa senario yang sama juga berlaku di Malaysia dan ia jelas ditunjukkan dalam keputusan PRU12 yang lalu. Sentimen ini jelas berlaku di serata dunia dan apa yang saya boleh fikirkan, ini kerana golongan generasi muda ini dibentuk oleh corak pemikiran yang sama di dalam dunia digital, maka di situlah persamaan ataupun hubungan mereka. Jelas, mereka adalah kunci kekuatan politik sekarang dan sekurang-kurangnya beberapa dekad yang akan datang.

Banyak lagi yang boleh dipelajari di sini dan saya percaya ia perlu dianalisis dengan lebih mendalam lagi supaya Puteri UMNO kekal relevan dan "keep in touch" dengan generasi muda ini. Bebeberapa perkara telahpun dilaksanakan dan banyak lagi yang dalam perancangan dan saya yakin semuanya akan memberi hasil yang positif.

Berbalik kepada Obama, walaupun saya percaya dia akan melakukan banyak perubahan, saya masih lagi skeptik dia akan membuat perubahan yang besar dalam polisi luar negara, teruatamanya polisi di Palestin, Afghanistan, Iraq dan juga Iran. Namun, saya sangat gembira jika dia dapat buktikan bahawa pandangan saya ini salah.