Wednesday, May 20, 2009

Jalan-jalan di Melaka




Salam semua,

Ramai tertanya-tanya bagaimanakah rutin saya sekarang ni sejak berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Memang benar, aktiviti politik saya semakin kurang berikutan tidak lagi memegang sebarang jawatan di dalam Puteri UMNO. Namun, saya tetap mengikuti dengan rapat setiap perkembangan politik tanahair, terutamanya di dalam Puteri sama ada melalui akhbar-akhbar ataupun teman-teman yang lain. Maklumlah, politik ini sudah sebati dengan darah daging saya, memang sukar untuk dipisahkan lagi.

Namun, pengurangan aktiviti politik ini juga memberi saya lebih masa untuk dihabiskan bersama-sama anak-anak yang selama ini begitu memahami penglibatan aktif saya dalam politik selama ini. Untuk tempoh beberapa bulan yang lalu, saya tidak dapat memberi perhatian sebanyak mana yang saya inginkan kepada mereka kerana jadual aktiviti begitu ketat. Namun tidak sedikit pun sebarang rungutan daripada mereka yang cukup memahami.

Jadi, baru-baru ini saya membawa mereka berjalan-jalan ke Melaka dan ia cukup menyeronokkan untuk kami sekeluarga. Lebih menyeronokkan adalah Irfan yang mendapat pengalaman baru menaiki beca di Melaka. Yelah, di Kuala Lumpur mana lah ada beca. Jadi bila dia dapat peluang untuk menaiki beca yang berwarna-warni, Irfan cukup seronok dan ini menggembirakan lagi saya.

Selain itu, kami juga menaiki "river cruise" menyusuri Sungai Melaka yang mengingatkan saya kepada perkhidmatan gondola di Venice, Itali. Menyusuri Sungai Melaka itu memberi saya beberapa idea bagaimana untuk menarik lebih ramai pelancong menggunakan perkhidmatan "river cruise" ini. Nantilah saya bisik-bisikkan kepada orang-orang Melaka, ye.

Jumpa lagi.

Friday, May 15, 2009

Pengalaman berharga



Salam semua,

Baru-baru ini Irfan mengikuti lawatan sambil belajar ke Pizza Hut, anjuran sekolahnya. Dan hasilnya adalah pizza pertama dia sendiri! Bangga saya melihat Irfan dapat menghasilkan pizza tersebut yang dibuatnya di bawah tunjuk ajar kakitangan Pizza Hut. Aktiviti ini mungkin kelihatan mudah tapi saya percaya ia memberi lebih keyakinan diri kepada Irfan

Saya bersyukur Irfan mendapat peluang seperti ini yang pada saya sangat berharga. Saya percaya setiap kanak-kanak itu mempunyai potensi untu membentuk keyakinan dan keupayaan dirinya, cuma dia memerlukan peluang dan bimbingan yang baik. Sebaik mungkin, saya percaya, kita harus berusaha untuk memberi apa saja peluang, biar sekecil manapun, untuk kanak-kanak itu mencungkil keupayaan dan keyakinan di dalam dirinya.

Lebih menggembirakan saya, lawatan sambil belajar ini "diadakan" di dapur kerana ia dapat memberi pendekatan dan membina persepsi yang berbeza kepada kanak-kanak, terutamanya kepada kanak-kanak lelaki mengenai "dapur". Mungkin dapur di rumah hanya menyaji masakan kasih sayang seorang ibu, tapi di dapur Pizza Hut, mereka menyaksikan suatu sajian masakan yang membentuk perniagaan yang bernilai jutaan dolar setiap tahun. Harap-harap ini akan mencambah inspirasi kepada Irfan :).


Monday, May 11, 2009

63 tahun UUMNO

Salam semua,

Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada parti tercinta UMNO atas sambutan ulang tahun ke-63. Alhamdulillah syukur kita ke hadrat-Nya atas limpah kurnia-Nya maka parti politik terulung untuk orang Melayu masih lagi ada, utuh dan terus mantap dalam menangani pelbagai cabaran baik dari dalam ataupun luar. Di sambutan ulang tahun ini, kita juga harus berterima kasih kepada bapa-bapa pejuang UMNO yang membina asas parti ini, bagi mempertahankan hak-hak orang Melayu, sehinggalah ia menjadi parti politik yang terbesar di Negara ini. Tanpa UMNO ketika itu, mungkin kita tidak memperolehi kenikmatan yang kita rasai sekarang.

Namun, benar seperti kata-kata Perdana Menteri kita, sementelah kita berbangga dengan kekayaan sejarah, tradisi, kejayaan dan kegemilangan UMNO selamat 63 tahun, kita tidak boleh terlalu bernostalgia mengenainya. Ya, kita bangga dengan UMNO, tapi tidak boleh membiarkan kejayaan lalu membuai dan meleka kita daripada berhadapan dengan realiti politik sekarang dan juga akan datang yang jauh beza berbanding 63 tahun yang lalu.

Perjuangan UMNO sekarang mesti seiring dengan perkembangan semasa di mana kehendak ahli-ahli adalah berbeza dan kehendak rakyat juga berbeza. Mungkin asas perjuangan adalah sama, tapi perlaksanaan dan wadahnya berbeza. Ini tidak dapat dielakkan dan perubahan-perubahan ini harus dilakukan bagi memastikan UMNO tetap relevan.

Seperti tradisinya, sambutan ulang tahun disambut dengan bacaan Yassin, majlis tahlil dan doa selamat. Jika kita tidak menyertai majlis-majlis anjuran UMNO, kita tetap boleh melakukannya di rumah bersama-sama keluarga. Rasanya itu lebih afdal dan bermakna agar kita sekeluarga melahirkan rasa kesyukuran dan memanjatkan doa supaya UMNO tetap utuh dan diberi keberkatan dan panduan oleh Illahi.

Kita sedekahkan juga bacaan Yassin dan tahlil kepada pejuang-pejuang UMNO yang telahpun meninggalkan kita. Semoga mereka berada di kalangan orang-orang yang beriman. Amin