Friday, November 14, 2008

Tahniah Awliya...

Salam semua,

Saya ingin berkongsi kegembiraan saya yang puteri sulung saya, Awliya berjaya mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini. Ucap tahniah saya kepadanya. Saya sangat bersyukur di atas kejayaan Awliya ini kerana saya agak bimbang juga berikutan tidak selalu dapat bersamanya membuat persediaan menghadapi peperiksaan itu.

Namun sikap berdikari dan tanggungjawab yang mengalir di dalam dirinya terbukti dengan kejayaan ini. Buat Awliya, ini adalah kejayaan kecil dan masih lagi banyak cabaran yang perlu diharungi di dalam dunia akademik ini. Bagaimanapun, sementara menunggu hari itu, just enjoy the sweet success now :).


Tuesday, November 11, 2008

Kepercayaan anda tidak akan disia-siakan...

Salam semua,

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah mencalonkan saya untuk bertanding bagi jawatan Ketua Puteri UMNO tahun depan. Dengan pencalonan yang diberikan kepada saya, ia memberi keyakinan bahawa keputusan saya untuk menawarkan diri untuk memimpin Puteri UMNO, adalah tepat.

Saya sangat menghormati pencalonan yang diberikan dan saya berjanji tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang telah diberikan. Sehubungan itu, tidak timbul persoalan yang saya akan menarik diri daripada pertandingan ini.

Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, saya akan terus-terusan untuk berkempen dan turun ke padang untuk berjumpa ahli-ahli Puteri bagi menerangkan perancangan dan rangka kerja yang telah saya sediakan untuk Puteri jika diberi peluang untuk memimpinnya.

Saya percaya Puteri mempunyai potensi yang sangat besar, apatah lagi untuk melaksanakan misi utama kita iaitu untuk menawan kembali negeri-negeri yang ketika ini diperintah oleh parti-parti pembangkang, dalam PRU13 yang akan datang. Saya punya perancangan untuk menambah lagi bilangan ahli Puteri dan juga cara-cara untuk menambat hati pengundi-pengundi kita, terutamanya di kalangan golongan muda.

Saya juga mempunyai pelbagai perancangan untuk menjadikan Puteri terus relevan dan dinamik termasuk menangani isu-isu pendidikan, sosial dan ekonomi melalui program-program dengan sasaran yang realistik.

Saya akan huraikan lebih terperinci dari semasa ke sama di blog ini dan tentunya ketika kita bertemu nanti di pertemuan-pertemuan yang akan datang. Dalam pada yang sama, saya sangat-sangat alu-alukan jika sesiapa sahaja di kalangan Puteri yang ingin bertanya apa sahaja ataupun hubungi saya dengan e-mel di pu3ina@yahoo.com ataupun telefon bimbit saya di 012-3373311.


Saturday, November 8, 2008

Kesan Obama...

Salam semua,

Saya rasa masih belum terlewat untuk saya mengulas sedikit mengenai kejayaan Barrack Obama yang baru sahaja memenangi jawatan Presiden AS. Kejayaan Obama dikatakan mencerminkan perubahan besar kehendak rakyat AS yang kini berada di dalam krisis ekonomi yang teruk selain daripada moral yang rendah berikutan penglibatan negara itu dalam banyak peperangan ciptaan mereka sendiri, yang telah mengorbankan ribuan nyawa rakyat itu.

Saya ikuti perjalanan Obama ke White House dengan penuh minat sejak dia mula berkempen menentang Hillary Clinton bagi mewakili parti Demokrat untuk pertandingan jawatan Presiden AS. Ketika itu kedua-dua calon Demokrat cukup menarik di hati saya kerana jika Clinton menang, dia akan menjadi calon Presiden AS wanita yang pertama - wow, seorang wanita memimpin AS. Dan jika Obama menang ketika itu, dia akan jadi calon Presiden AS pertama berkulit hitam.

Dengan dua pilihan calon yang cukup baik, parti Demokrat sememangnya menguntungkan dan seterusnya Obama menang, dan kini muncul sebagai Presiden AS yang pertama berkulit hitam.

Tidak dapat dinafikan bahawa Obama adalah seorang pemimpin yang berkarisma, cukup meyakinkan bila berada di atas pentas. Ucapan dan manifestonya cukup jelas ingin membuat perubahan besar untuk negaranya. Dan ini memang seiring dengan kehendak rakyat AS yang inginkan perubahan lalu memilihnya.

Selepas kemenangan Obama, analisis demi analisis dilakukan ke atas rahsia kejayaannya yang dikatakan telah meroboh tembok warna kulit, sesuatu yang dikatakan cukup tebal di kalangan golongan kulit putih, majoriti rakyat AS. Antara analisis yang menarik perhatian saya ialah undian terbanyak Obama datangnya daripada pengundi golongan muda. Mereka ini dilabel sebagai generasi Y yang lahir dalam dunia digital, suatu dunia virtual yang merentasi sempadan sosial, politik, agama, geografi dan budaya.

Obama jelas mengenali generasi ini dan memahami kehendak mereka yang sudah mual dengan pentadbiran kerajaan AS yang dahulu berlagak menjadi polis dunia dan pembuli ke atas negara-negara kecil tidak bermaya. Generasi ini juga jelak dengan keangkuhan ahli-ahli politik berfikiran lama yang masih lagi dibelenggu dengan cara politik lama dan konservatif.

Saya tidak dapat tidak mengaitkan bahawa senario yang sama juga berlaku di Malaysia dan ia jelas ditunjukkan dalam keputusan PRU12 yang lalu. Sentimen ini jelas berlaku di serata dunia dan apa yang saya boleh fikirkan, ini kerana golongan generasi muda ini dibentuk oleh corak pemikiran yang sama di dalam dunia digital, maka di situlah persamaan ataupun hubungan mereka. Jelas, mereka adalah kunci kekuatan politik sekarang dan sekurang-kurangnya beberapa dekad yang akan datang.

Banyak lagi yang boleh dipelajari di sini dan saya percaya ia perlu dianalisis dengan lebih mendalam lagi supaya Puteri UMNO kekal relevan dan "keep in touch" dengan generasi muda ini. Bebeberapa perkara telahpun dilaksanakan dan banyak lagi yang dalam perancangan dan saya yakin semuanya akan memberi hasil yang positif.

Berbalik kepada Obama, walaupun saya percaya dia akan melakukan banyak perubahan, saya masih lagi skeptik dia akan membuat perubahan yang besar dalam polisi luar negara, teruatamanya polisi di Palestin, Afghanistan, Iraq dan juga Iran. Namun, saya sangat gembira jika dia dapat buktikan bahawa pandangan saya ini salah.

Friday, October 31, 2008

Di AWANI

PART 1



PART 2


PART 3

Friday, October 24, 2008

Terima kasih...


Salam semua,

Saya minta maaf kerana agak lama tidak mengemaskini blog ini. Ramai yang sms ataupun bertanya kepada saya ketika bertemu kenapa blog ini agak sepi. Terus terang saya terpaksa akui bahawa tempoh seminggu dua ini amat sibuk sekali. Rasanya semua tahu ini kerana musim mesyuarat agung bahagian-bahagian di mana proses pencalonan bagi pemilihan akan datang sedang rancak dijalankan.

Dalam perkara ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada bahagian-bahagian yang telah mencalonkan saya untuk bertanding bagi jawatan Ketua Puteri UMNO. Saya sangat-sangat menghargai kepercayaan anda kepada saya dan berjanji tidak akan mensia-siakannya.

Kepada bahagian-bahagian yang tidak mencalonkan saya, tidak mengapa kerana mungkin mereka mempunyai sebab-sebab tersendiri. Mungkin saya belum cukup jelas menyatakan visi dan misi saya kepada mereka sebab-sebab saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan ini. Saya akan turun untuk bertemu bagi menjelaskannya. Bak kata pepatah "tak kenal, maka tak cinta" :).

Kesibukan berkempen ketika ini memang memenatkan tapi mujur saya punya keluarga yang begitu memahami dan menyokong perjuangan saya. Malah anak bongsu saya, Irfan, yang kecil juga boleh memahami kesibukan ibunya ini dan tahu sahaja cara untuk menghiburkan hati saya.

Baru-baru ini, saya baru pulang ke rumah setelah menghadiri satu majlis dan saya melihat Irfan di dapur sedang sibuk membantu Opahnya uli tepung. Saya bertanya "Irfan buat apa?". Dia jawab "Karipap untuk Umi". Hati ibu manalah yang tidak tersentuh.

Friday, October 10, 2008

Memperkasakan Puteri UMNO

Salam semua,

Bermula minggu ini, setiap bahagian Puteri UMNO di seluruh negara akan mula mengadakan persidangan serta membuat pemilihan di peringkat bahagian dan pencalonan bagi peringkat kebangsaan.

Pada saya persidangan ini penting kerana di kala ini, UMNO sangat-sangat memerlukan kita di Puteri UMNO untuk memberinya kekuatan dan kegemilangan yang diperlukan untuk terus menjaga kepentingan Islan dan juga orang Melayu di negara ini.

UMNO memerlukan kita berbincang bersungguh-sungguh dan membuat keputusan bijak bagi menentukan arah tuju parti dan juga memilih barisan pucuk pimpinan yang akan menerajuinya.

Setiap keputusan dilakukan haruslah berdasarkan asas perjuangan UMNO yang melindungi kepentingan agama dan bangsa kita. Saya percaya setiap ahli di persidangan adalah cukup matang dan bijak dalam melaksanakan hak dan tanggungjawab masing-masing.

Saya doakan semua persidangan akan berjalan lancar dan dirahmati Allah SWT. Marilah kita bersama-sama memperkasakan Puteri UMNO, dan seterusnya memberi kekuatan dan kegemilangan kepada UMNO.

Wednesday, October 8, 2008

Rumah terbuka dan adab

Salam semua,

Antara keistimewaan Hari Raya di Malaysia yang saya rasa tidak ada di mana-mana pun di dunia ini ialah majlis rumah terbuka Hari Raya yang boleh dikatakan ada sahaja di setiap hari sepanjang bulan Syawal.


Budaya rumah terbuka ini berasal dari amalan budaya orang Melayu yang mengaitkan kemuliaan bulan Syawal sebagai waktu yang paling baik untuk kunjung mengunjung, bermaaf-maafan dan merapatkan silaturahim. Syawal ini memang istimewa kerana pada waktu ini hati menjadi lebih lembut dan terbuka untuk memohon dan memberi kemaafan.

Maka apabila berkunjung ke rumah terbuka, hati pengunjung dan juga tuan rumah semestinya ikhlas dan bersih daripada sebarang prasangka ataupun niat yang tidak baik.

Sebagai tuan rumah, kita terima sesiapa sahaja yang berkunjung walaupun mereka yang pernah menyakitkan hati, dengan niat inilah waktu yang terbaik untuk melupakan pergeseran yang lalu. Nama pun rumah terbuka, ia terbuka kepada sesiapa sahaja untuk berkunjung.

Sebagai pengunjung, haruslah menghormati tuan rumah dengan mendoakan yang terbaik dan kesejahteraan untuk tuan rumah dan mengharapkan hubungan akan menjadi lebih rapat dan baik.

Itulah antara perkara-perkara asas budaya kunjung mengunjung dan berkembang menjadi rumah terbuka di Malayasia ini. Begitu kuatnya budaya ini, pemimpin-pemimpin besar negara mengadakannya setiap tahun di mana orang ramai bebas berjumpa, bersalaman malah bergambar dengan pemimpin-pemimpin ini tanpa sebarang sekatan ataupun kawalan ketat.

Saya tak boleh bayangkan budaya ini menjadi amalan umpamanya pemimpin di Amerika Syarikat ataupun Great Britain yang fobia dengan segala jenis ancaman.

Jadi, apabila ada pengunjung ke rumah terbuka yang mempunyai niat yang tidak bersih dan suci terhadap tuan rumah, ia jelas melanggar perkara asas budaya ini. Pendek kata, bagi orang Melayu ia adalah sesuatu yang biadap dan kurang ajar.

Memang benar kata sesetengah orang, kalaulah perkara ini berlaku di kampung-kampung Melayu, sudah lama mereka ini dihalau. Namun, ramai yang boleh bersabar dan mungkin ada baiknya supaya kebiadapan dan sikap kurang ajar mereka ini dapat dilihat oleh orang lain dan dijadikan sempadan.

Orang Melayu sememangnya bangsa yang lemah lembut dan sangat menghormati tetamu. Mana tidaknya, tanah Melayu ini rela dikongsi dengan bangsa lain. Keistimewaan dan keutamaan orang Melayu juga semakin hari semakin banyak dilepaskan demi menjaga hati bangsa lain.

Namun bak kata pepatah - orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa. Jika segala budi baik dan kelembutan orang Melayu ini terus-terusan dibalas dengan kebiadapan, ia sebenarnya mencabar kesabaran dan ketuanan orang Melayu itu sendiri.

Sejarah telah menunjukkan kesan dan akibat apabila kesabaran orang Melayu ini sudah hilang tidak boleh dibendung lagi, dan saya mengharapkan ia tidak akan sampai ke situ kerana inginkan negara yang aman damai untuk kita semua.

Jadi apabila kita kunjung berkunjung ke rumah-rumah terbuka sepanjang Syawal ini, lakukanlah dengan niat yang baik dan hati yang bersih. Inilah masa yang terbaik untuk mengeratkan silaturahim dan menguatkan perpaduan sesama kita.