Monday, December 29, 2008

Selamat Menyambut Mal Hijrah..

Salam semua,

Saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah. Semoga tahun yang akan datang adalah lebih baik dan sementar itu, mMarilah kita bersama-sama berhijrah untuk menjadikan diri kita lebih baik lagi. Kita buka buku baru :)


Saturday, December 20, 2008

Belia 4B PJS....



Salam semua,

Semalam saya telah hadir ke Majlis Jasamu Dikenang Abah Yalit yang merupakan bekas Ketua Gerakan Belia 4B Petaling Jaya Selatan. Majlis diadakan sebagai penghargaan kepada Abah Yalit ke atas sumbangan beliau yang memimpin cawangan Belia 4B itu selama ini.

Sekarang cawangan itu dipimpin oleh Badrulhisham yang sememangnya berkaliber dan aktif dalam beberapa NGO di peringkat Negeri dan juga Persekutuan. Saya sendiri telah dilantik menjadi Ketua Gerakwanis Belia 4B Petaling Jaya Selatan dan saya berasa terharu di atas kepercayaan ini dan berazam akan memberi sumbangan sebaik mungkin kepada pertubuhan ini.

Sebenarnya saya pernah dipelawa beberapa kali untuk menyertai Belia 4B beberapa tahun yang lalu tapi dengan berat hati terpaksa menolak kerana begitu sibuk dengan tugas dan tanggungjawab. Tapi kini, saya mempunyai sedikit ruang waktu untuk memberi sumbangan kepada pertubuhan ini, sekaligus mengambil peluang untuk berdamping lebih rapat lagi dengan golongan muda.

Ini adalah selari dengan tugas dan tanggungjawab saya di dalam Puteri UMNO dan juga MAPIN kerana ia juga bertujuan untuk memajukan golongan muda di negara ini. Dengan pembabitan saya dalam Belia 4B, ia menambahkan lagi peluang untuk memberi sumbangan kepada lebih ramai golongan muda.

Insya-Allah saya akan merangka beberapa program untuk Belia 4B Petaling Jaya Selatan demi mencapai objektif dan cita-citanya.


Thursday, December 18, 2008

Chicken pox marathon...

Salam semua,

Saya minta maaf kerana lama tak update blog ni. Anak-anak baru sahaja habis marathon kena chicken pox. Sorang-sorang kena. Jadi memang la sibuk menjaga anak-anak yang panik bila tengok bintik-bintik besar kat muka dan badan. Adoi....manja diaorang masa tengah sakit, itu usah cerita la. Memang pening dibuatnya.

Apa-apapun, Alhamdulillah semua sudah okay. Bila difikirkan, elok juga diaorang kena chicken pox ni masa kecil dan kebetulan masa cuti sekolah. Jadi tidak terganggu la persekolahan mereka. Cuma kasihan kerana cuti sekolah ni mereka terperap di rumah saja la. Jadi saya banyak menghabiskan masa di rumah menemani mereka.

Alhamdulillah kedua-dua Tok dan Opah diaorang ada sama menjaga cucu-cucu kesayangan mereka. Mak yang memang kaya dengan pelbagai jenis petua, telah dapatkan daun bambu untuk disapu pada parut-parut bintik chicken pox tu. Supaya cepat hilang, katanya.

Mak cakap daun bambu ni boleh ditumbuk hancur dan campur dgn bedak sejuk. Boleh cepat hilangkan jerawat, katanya. Yelah, orang dulu-dulu mana ada SK2 atau Oxy, jadi ubat-ubatan herba inilah yang dijadikan penawar. Khasiat daun bambu ini memang popular di kalangan kaum India yang sering menanam pokok ini di depan rumah.

Oh ye, mak kata kalau nak pakai daun bambu ni, jangan pakai masa period bagi kaum wanita. Itu pantang larangnya, kata mak. Tak tahu la kenapa. Mungkin ia ada kesan kepada peraliran darah. Entahlah. Tapi saya percayakan mak, jadi ikut aje la nasihatnya itu.


Sunday, December 7, 2008

Salam Aidil Adha...

Salam semua,

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua. Menjelang hari raya ini, berlaku beberapa tragedi yang cukup meyayatkan hati. Di Kuala Lumpur, 4 maut akibat tanah runtuh dan di Tangkak, 9 pula maut apabila bas yang dinaiki terbalik. Di Temerloh, ibu dan anak terbunuh, manakala suami dan seorang anak mereka lagi pula koma, juga kerana kemalangan jalan raya.

Saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka bersabar dalam menghadapi dugaan yang besar ini. Pasti ini adalah dugaan Allah ke atas hambanya. Saya tahu berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.

Kehilangan nyawa sekelip mata ini mengingatkan saya betapa berharganya hidup saya ini dan juga pentingnya orang-orang yang tersayang di keliling saya. Saya berazam untuk meluangkan sebaik-baik waktu yang ada dengan mereka dan meluahkan kasih sayang.

Kepada anda semua, saya doakan kesejahteraan anda di mana sahaja anda berada. bagi yang memandu, berhati-hati di jalan raya terutama ketika hari hujan.

Selamat Hari Raya Aidil Adha.


Friday, December 5, 2008

Politik wang, Puteri dan BPR....

Salam semua,

Isu politik wang kini hangat diperkatakan, dan teropong kini dihalakan ke Puteri UMNO dgn dakwaan penglibatan sama ada secara langsung dan tidak langsung. Yang terbaru baru-baru ini beberapa orang Puteri telah disoal siasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung kes siasatan politik wang di Negeri Sembilan.

Nampaknya Puteri UMNO tidak terlepas daripada bahang politik wang ini dan mahu atau tidak ia akan menjadi percakapan ramai pihak, baik di dalam organisasi kita ini, ataupun orang ramai di luar sana yang membina pelbagai tanggapan mengenainya.

Secara terus terang saya agak bosan dengan tuduhan-tuduhan liar mengenai politik wang di dalam UMNO. Ramai yang memperkatakannya, tapi tidak ramai yang berani untuk tampil ke hadapan dengan bukti-bukti yang kukuh.

Saya percaya Puteri UMNO masih terpelihara daripada pengaruh-pengaruh negatif politik wang ini tapi oleh kerana sifatnya yang berteraskan politik, maka ia tetap terkena tempias pandangan serong orang di luar sana.

Beginilah, saya mengalu-alukan pihak BPR untuk memantau pertandingan Puteri UMNO ini ataupun menyoal siasat mana-mana calon yang bertanding berhubung dengan politik wang.

Saya melihat ini dari sudut pandangan yang positif kerana apabila BPR sudah siasat dan mendapati calon berkenaan bersih daripada politik wang, maka senanglah calon itu bekerja dan berkempen untuk pertandingan jawatan. Tak perlulah calon berkenaan menghabiskan sebahagian besar masanya hanya semata-mata untuk menangkis tuduhan-tuduhan liar mengenai politik wang.

Dengan cara ini juga, BPR dapat membantu membersihkan pandangan-pandangan serong terhadap Puteri. Yelah, kalau BPR dah kata ok, apa yang nak dipertikaikan lagi, bukan? Jika kita bersih dan beradab ketika berkempen, tiada apa yang hendak ditakutkan.


Thursday, November 20, 2008

Mengenai isu kompromi...

Salam semua,

Hari ini saya dihubungi oleh wartawan berhubung isu kompromi dalam pertandingan untuk jawatan Ketua Puteri UMNO. Saya ditanya sama ada saya sedia untuk berkompromi dengan calon-calon lain yang bertanding untuk jawatan itu, untuk mengelakkan perpecahan di dalam Puteri.

Saya sesungguhnya tidak faham kenapa isu kompromi ini dibangkitkan pada ketika ahli-ahli Puteri sedang melihat semangat demokrasi dan kesedaran mengenai kualiti kepimpinan begitu tinggi di kalangan mereka. Ini adalah senario yang segar dan ini adalah kehendak ahli-ahli di peringkat akar umbi. Mereka mahukan perubahan.

Kenapa harus ditutup mulut suara ahli-ahli ini yang telah membuat pencalonan masing-masing untuk menyuarakan hak dan kehendak mereka? Atas alasan mengekalkan perpaduan? Tapi mungkin kita juga tidak sedar bahawa dengan berkompromi, kita sebenarnya hanya menyapu isu di bawah permaidani, tanpa menyelesaikannya.

Kompromi juga menyekat suara ramai dan apabila ia terus-terusan disekat dengan keputusan hanya dibuat oleh peringkat tertinggi, ia akan hanya menimbulkan kekecewaan dan kemarahan di kalangan ahli-ahli yang akhirnya membuat keputusan untuk memprotes. Protes ini telahpun dikenalpasti salah satu punca kekalahan teruk BN di PRU 12 di mana suara di akar umbi tidak diambil kira, dan keputusan hanya dibuat di peringkat tertinggi.

Inilah juga antara punca perpecahan di dalam parti apabila suara akar umbi tidak didengari dan mereka dianggap "tidak tahu apa-apa" dan fahaman "hanya pemimpin sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk ahli-ahli" dipegang dengan begitu taksub sekali. Ahli-ahli UMNO sekarang bukannya seperti 20 tahun dulu. Kini ramai yang mempunyai tahap pendidikan tinggi, celik IT, kesedaran politik yang tinggi yang membolehkan mereka membuat pertimbangan yang lebih bersifat analitikal, memikirkan apa yang terbaik untuk mereka. Mereka bukan lagi "yes man".

Saya tentunya tidak mahu perkara ini berulang lagi kerana saya mempunyai visi untuk memimpin Puteri membantu UMNO dan BN menawan kembali negeri-negeri yang kini di tangan parti pembangkang. Ahli-ahli mahukan perubahan, dan saya berazam untuk melakukannya.

Saya telahpun dicalonkan oleh ahli-ahli yang menaruh harapan tinggi untuk saya bertanding dan memimpin Puteri UMNO ke arah yang lebih cemerlang. Kenapa harus saya membelakangkan kehendak mereka ini? Saya mesti hormati keputusan mereka.

Maka, in pendirian saya - melainkan ahli-ahli yang telah mencalonkan saya itu membuat keputusan yang berbeza, saya tetap akan bertanding Mac nanti.

Apa yang penting untuk memelihara perpaduan Puteri UMNO bukanlah kompromi, tetapi adab bertanding itu mestilah dijaga dengan mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Tertinggi. Jangan ada politik wang, jangan ada fitnah menfitnah, jangan ada serangan peribadi, jangan hina menghina, jangan ada tikam belakang, jangan telalu taksub dan banyak lagi yang kita boleh fikir sendiri. Kita bukannya budak-budak kecil lagi.

Promosi sahaja visi dan misi, rekod kerja, kebolehan dan kemahiran masing-masing supaya ahli-ahli dapat membuat pilihan yang tepat dan terbaik untuk memimpin mereka. Ini yang perlu dilakukan. Promote positive things!

Jika adab bertanding ini dijaga, saya yakin perpaduan Puteri UMNO akan terus utuh. Pemikiran ahli-ahli akan bertambah matang, dan demokorasi yang kita junjung dalam perlembagaan akan terus segar.


Sunday, November 16, 2008

Mencari titik persamaan...

Salam semua,

Saya sering ditanya adakah kemungkinan untuk Puteri UMNO bekerjasama dengan Dewan Muslimat PAS. Jawapan saya sentiasa konsisten iaitu demi kebaikan agama, bangsa dan negara, saya tidak akan menolak idea untuk bekerjsama dengan mana-mana pihak pun. Ini adalah untuk kebaikan dan saya sentiasa suka melihat titik-titik persamaan dengan mana-mana pihak pun sebagai landasan kerjasama daripada membahaskan perbezaan.

Jadi, saya sangat gembira apabila melihat Sekretariat Pembelaan dan Perkasaan Wanita Islam (Senada) dan Dewan Muslimat PAS memeterai kerjasama untuk bersama-sama bekerja demi faedah dan kebaikan wanita Islam di Malaysia. Pengerusi Senada, Dato' Seri Shahrizat Jalil yang juga Naib Ketua Wanita UMNO dan Ketua Dewan Wanita Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh berkongsi objektif yang sama dalam hal ini. Jelas dua pemimpin wanita ini mempunyai visi yang cukup jauh dan berjiwa besar.

Saya melihat ini adalah suatu perkembangan positif dalam senario politik negara di mana kita boleh merentasi perbezaan pendapat dan ideologi untuk mencapai suatu tujuan yang murni.

Di ketika rakyat memerlukan bantuan dan sokongan daripada pemimpin-pemimpin mereka baik di kalangan pemerintah ataupun pembangkang, adakalanya kita harus membelakangkan fahaman masing-masing supaya dapat bersama-sama membantu rakyat yang masalah mereka adalah "real" dan mereka tidak peduli siapa kita. Apa yang mereka tahu, kita telahpun dilantik untuk memimpin, dan tanggungjawab kita untuk membantu.

Saya mengharapkan lebih banyak kerjasama akan terjalin dengan pihak-pihak yang lain kerana pada saya ketika ini, membahaskan perbezaan kita bukanlah keutamaan, tetapi menangani permasalahan rakyat yang kian tertekan, terutamanya masalah ekonomi adalah menjadi keutamaan kita sebagai pemimpin.