Monday, November 9, 2009

Kem Rakan Remaja Patriotik


Salam semua,
Mimbar Permuafakatan IbuBapa Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) telah menganjurkan satu program Kem Remaja Patriotik 2009 pada 06hb hingga 08hb November 2009 bertempat di Kem Bina Semangat Yayasan Selangor, Kuala Kubu Bharu Selangor.
Program ini adalah bertujuan untuk memupuk dan meningkatkan semangat nasionalisme dan patriotisme serta memulihkan dan mengukuhkan lagi semangat kesukarelaan bagi menjalankan kerja yang berasaskan patriotisme di kalangan generasi muda.
Pada saya, sekiranya remaja dan belia hari ini tidak mengetahui sejarah atau fakta mengenai usaha menuntut kemerdekaan negara, maka rasa sayang mereka akan luntur. Kesan lain juga timbul termasuklah hilangnya rasa tanggungjawab dalam mengekalkan keamanan dan kedaulatan negara. Dalam hal ini, kesedaran sejarah dalam kalangan generasi muda amat penting untuk dijadikan bekal, panduan dan sebagai persiapan awal sebelum mereka menerajui pengurusan, pembangunan dan kepimpinan negara.

Peristiwa masa lalu perlu dijadikan pengajaran dan iktibar untuk membentuk masa depan belia yang lebih cemerlang. Generasi muda adalah aset penting bagi negara dan perlu diberi perhatian secara berterusan. Untuk itu, mereka perlu dibentuk dan diterapkan dengan nilai-nilai murni termasuk sikap saling bantu-membantu, sayang-menyayangi dan prihatin terhadap gejala sosial yang berlaku di sekeliling. Justeru, saya akan terus berusaha menganjurkan program serupa yang juga dilihat mampu memulihkan dan mengukuhkan semangat kesukarelaan berasaskan patriotisme.

Terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, YB Mohd Isa Abu Kasim kerana telah sudi hadir merasmikan penutupan kem tersebut dan terima kasih juga kepada IKSEP kerana sudi bekerjasama serta jawatankuasa MAPIM Selangor dan juga kepada mereka yang telah menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada kejayaan kem tersebut.