Monday, September 29, 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin


Salam semua,

Di kesempatan ini, saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin kepada semua saudara mara dan sahabat taulan kami.

Ucapan khas saya juga kepada rakan-rakan seperjuangan dan sahabat-sahabat saya yang sentiasa memberi sokongan kepada saya selama ini. Jika ada silap dan salah, ia bukanlah disengajakan dan saya menyusun sepuluh jari memohon ampun.

Saya tahu ramai yang akan berhari raya di kampung masing-masing, jadi bawalah kenderaan masing-masing dengan hati-hati. Biarlah lambat sedikit, asalkan kita selamat sampai ke destinasi dan dapat menyambut Aidilfitri dengan gembira bersama keluarga.

Salam Aidilfitri dari saya sekeluarga.



Thursday, September 25, 2008

Ramah Mesra Sentuhan Ramadhan


Salam semua,

Alhamdulillah baru-baru ini Biro Briged Putri MAPIN dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) telah menganjurkan program Ramah Mesra Sentuhan Ramadhan, majlis jamuan berbuka puasa bersama kira-kira 150 anak-anak yatim dari Asrama Baitul Ummah dan Asrama Penyayang Nur Iman, Parlimen Wangsa Maju.

Program ini juga telah mendapat sokongan DBKL dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan Berhad.

Selain berbuka puasa, majlis itu juga diserikan dengan persembahan nasyid dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari kedua-dua buah asrama ini. Anak-anak itu juga mendapat peluang untuk bertemu Mejar Dr. Faiz Khaleed, Angkasawan Negara yang telah sudi meluangkan masa untuk beramah mesra dengan mereka di majlis itu.

Di majlis berkenaan, Biro Briged Putri MAPIN telah menyampaikan sumbangan merupakan deposit akaun dan tabung replika bangunan Tabung Haji kepada anak-anak yatim tersebut. Ini adalah sebahagian daripada usaha yang dibuat bagi membantu anak-anak yatim ini memulakan amalan menabung bagi untuk kegunaan masa depan.

Program ini juga memberi ruang kepada ahli-ahli Biro Briged Putri MAPIN untukk beramah mesra dengan anak-anak ini. Dengan cara ini kita akan lebih insaf dan bersyukur dengan rezeki yang ada. Selain daripada itu, kita berharap anak-anak ini dapat memulakan penghidupan mereka dengan menabung di usia muda mereka.

Ini adalah program ketiga pada bulan Ramadhan tahun ini. Sebelum ini Biro Briged Putri MAPIN telah mengadakan program Konvoi Menyusur Akar yang membantu 120 keluarga kurang mampu Kuala Lumpur dan mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak Rumah Nur Salam di Jalan Chow Kit.

Thursday, September 18, 2008

Berbuka puasa di Rumah Nur Salam


Salam semua,

Semalam Briged Puteri MAPIN mengadakan program ziarah dan majlis berbuka puasa di Rumah Nur Salam di Jalan Chow Kit.

Rumah ini adalah pusat jagaan kanak-kanak terabai yang tinggal di sekitar Jalan Chow Kit. Di pusat berkenaan, kanak-kanak ini diberi makanan, perlindungan dan bimbingan, yang sekaligus mengelakkan mereka daripada pengaruh tidak sihat dan menjauhkan mereka daripada kes-kes jenayah di situ.

Kami tiba di situ kira-kira jam 5.30pm dan beramah mesra dengan kanak-kanak di situ yang seramai kira-kira 30 orang. Menurut penagrah pusat itu, Raja Azizan, pada hari-hari biasa pusat jagaan itu secara purata menempatkan kira-kira 50 kanak-kanak.

Kami juga menyaksikan beberapa aktiviti berkumpulan yang dianjurkan oleh beberapa sukarelawan yang cukup menggembirakan kanak-kanak berkenaan. Lebih menarik, setiap aktiviti yang diadakan itu sarat dengan elemen-elemen pembelajaran dan pembentukan personaliti diri.

Melihat kanak-kanak itu saya merasa begitu bersyukur yang saya diberi rezeki yang baik dan dapat menyediakan keperluan asas yang secukupnya untuk anak-anak saya sendiri. Saya berasa ia menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membantu kanak-kanak ini dengan memberikan apa sahaja sokongan yang kita boleh berikan kepada mereka.

Terima kasih saya kepada Raja Azizan dan sukaralewan-sukarelawannya yang sudi menerima ziarah kami. Penghargaan kepada rakan-rakan media yang turut berada di sana membuat liputan dan semoga dengan liputan itu, lebih ramai yang akan tampil membantu kanak-kanak ini.

Terima kasih juga kepada ahli-ahli Briged Puteri MAPIN yang turut hadir di program semalam. Kehadiran dan sokongan anda amat besar ertinya kepada kanak-kanak tersebut. Bersama-samalah kita berdoa yang terbaik untuk mereka.

Tuesday, September 16, 2008

Briged Putri MAPIN bantu 10 keluarga miskin




Salam semua,

Baru-baru ini, Briged Puteri Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Nasional (Mapin) yang saya pengerusikan telah mula menggerakkan Program Konvoi Menyusur Akar dengan memberi bantuan keperluan asas kepada 10 keluarga miskin di kawasan Parlimen Wangsa Maju.

Ini adalah projek tahunan Briged Puteri Mapin dengan kerjasama Puteri UMNO Wangsa Maju yang bertujuan meringankan beban golongan berpendapatan rendah yang mempunyai ramai tanggungan pada bulan Ramadan ini.

Untuk program ini , kita telah kenal pasti seramai 28 keluarga miskin yang layak menerima bantuan itu. Setakat ini, sebanyak 10 keluarga telah diberikan bantuan manakala selebihnya akan menerima bantuan sebelum akhir Ramadhan.

Program Konvoi Menyusur Akar itu juga akan diteruskan dengan mengadakan majlis berbuka puasa di Rumah Nur Salam di Jalan Chow Kit tidak lama lagi.

Saya ingin ucapkan terima kasih kepada penyumbang-penyumbang dan begitu juga ahli-ahli Puteri UMNO Wangsa Maju dan juga Briged Puteri MAPIN yang bersama-sama menjayakan program yang ini.

Semoga ia dapat memberi sedikit keceriaan kepada mereka yang kurang bernasib baik dan juga keinsafan kepada kita semua supaya bersyukur dengan rezeki yang diberi Allah.

Monday, September 15, 2008

Sibuk di Ramadhan

Salam semua,

Maaf kerana agak lama tidak mengemaskini blog ini. Kesibukan tugas dan menguruskan keluarga di bulan Ramadhan ni menyebabkan ruang masa agak terhad untuk menulis. Tambahan pula di malam hari, sibuk memenuhi jemputan berbuka puasa dan mengerjakan ibadat terawih berjemaah.

Saya cuma bangga walaupun di bulan Ramadhan ini dan kita semua letih berpuasa, ramai rakan-rakan saya yang masih gigih melaksanakan pelbagai program kebajikan.

Baru-baru ini saya dijemput merasmikan Kem Kasih Ramadhan di Institut Budaya Baru Melayu di Ampang di mana 250 anak-anak yatim dari luar Lembah Klang telah menghadirinya. Ini adalah suatu program yang murni bertujuan memberi motivasi dan pendedahan untuk memantapkan diri anak-anak ini untuk pembelajaran dan juga sahsiah diri mereka.

Ada banyak lagi program yang telah diadakan, nanti akan saya akan catatkan lagi di blog ini.

Monday, September 1, 2008

Ramadan Al-Mubarak

Salam Semua,

Ramadhan kembali lagi dan kita bersyukur dipanjangkan usia untuk bersama-sama melaksanakan ibadah puasa di bulan yang cukup istimewa ini.


Walaupun berpuasa, ia bukanlah alasan untuk kita leka dan mengurangkan tugas-tugas dan tanggungjawab. Sebaliknya kita harus bekerja lebih gigih lagi kerana setiap perkara dilakukan dengan niat yang baik akan dibalas berkali-kali ganda oleh Allah. Itulah istimewanya Ramadhan.

Di sini, sempena Ramadhan yang mulia, saya sekeluarga ingin mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf, keterlanjuran kata dan laku. Semoga kita dapat bersama-sama melalui Ramadhan ini dengan melaksanakan ibadah dengan sempurna.