Salam semua,
Rasanya ramai yang masih lagi dalam keadaan percaya dan tak percaya dengan senario politik Perak yang bagaikan adegan daripada kisah di dalam filem. Namun sama ada percaya ataupun tidak, hakikatnya Kerajaan Negeri Perak kini telah kembali ke tangan Barisan Nasional dan saya ingin ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pucuk pimpinan parti yang telah bekerja keras melakukannya.
Saya juga ingin ucapkan tahniah kepada Datuk Dr Zambry Kadir atas perlantikan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang baru. Pada usia 47 tahun dan salah seoarang pemimpin Pemuda UMNO yang berwibawa, saya yakin Dr Zambry berupaya membawa nafas baru kepada pemerintahan di Negeri Perak.
Ramai yang bertanya kepada saya mengenai kewajaran pengambilalihan Negeri Perak. Ramai yang mempersoalkan mengenai moraliti dan etika pengambilalihan itu. Ramai yang memperkatakan BN, atau lebih tepat UMNO telah memanipulasi ramai pihak untuk mendapatkan kembali kuasa. Tidak kurang yang mengatakan UMNO telah menggunakan wang dan membuat ancaman kepada pihak-pihak tertentu supaya wakil-wakil rakyat itu keluar atau lompat parti.
Pada saya tuduhan adalah sekadar tuduhan dan anggapan liar tanpa adanya bukti-bukti yang kukuh, dan jika ada, kita punya saluran undang-undang untuk diambil tindakan. Melanggar etika? Mungkin, tapi jika kita menghalang niat atau tindakan wakil-wakil rakyat itu keluar atau lompat parti, maka kita juga melanggar etika atau hak mereka iaitu "the right of association". Perkara ini tidak melanggar undang-undang sama sekali, malah alasan ini juga digunakan oleh Pakatan Rakyat untuk mempelawa wakil-wakil rakyat BN menyertai mereka.
Rasanya semua sudah mual dan bosan mendengar janji-janji pemimpin PR mengenai pengambilalihan Kerajaan Persekutuan melalui pintu belakang ataupun lompat parti. Ketika itu, tiada pula penyokong mereka memperkatakan mengenai isu moral dan etika. Kenapa pula mereka melenting pula bila strategi yang mereka rancang selama ini, terkena pula ke atas mereka? Jadi, sebagai ahli politik, sedialah terima hakikat ini.
Oleh kerana BN kini mempunyai sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat di Perak, maka sekaligus mempunyai majoriti, lantas hak untuk membentuk kerajaan yang baru. Ini adalah perkara yang logik dan juga dalam lingkungan hak dan undang-undang. Kenapa dipersoalkan? Jika mereka berada di tempat yang sama, perkara ini juga akan mereka lakukan.
Mengenai laungan bahawa DYMM Sultan Perak seharusnya membubarkan Kerajaan Negeri Perak bagi membolehkan pilihan raya diadakan, itu adalah hak DYMM Tuanku dan sudah termaktub di dalam perlembagaan negeri. Kita yang memberinya hak, maka seharusnya kita menghormati hak DYMM Tuanku. Bukankah PR mengatakan "terserah kepada DYMM Tuanku membuat keputusan". Jadi DYMM Tuanku sudah buat keputusan, kenapa dibantah? DYMM Tuanku bukanlah calang-calang orangnya, maka pastinya keputusan yang dilakukannya sudah diberi pertimbangan semasak-masaknya untuk kebaikan semua pihak, dan dalam lingkungan undang-undang.
Datuk Seri Nizar seharusnya ingat bahawa perlantikan beliau dahulu adalah atas perkenan DYMM Sultan Perak, kerana jika dicongak bilangan kerusi, PAS tidak punya hak untuk wakilnya dilantik sebagai Menteri Besar kerana majoriti kerusi yang dimenangi adalah oleh DAP. Mungkin Datuk Seri Nizar lupa bahawa DAP begitu bersungguh-sungguh ingin melantik wakilnya menjadi Menteri Besar, namun perlembagaan Perak mengkehendaki Menteri Besar seorang Melayu dan Islam, maka Datuk Seri Nizar dilantik. Ketika itu, kebijaksanaan DYMMM Tuanku dijunjung tapi kenapa kini Datuk Seri Nizar "pohon derhaka"?
Saya juga kesal dengan tindakan sesetengah penyokong PR yang membuat kecoh berhampiran dengan Istana Bukit Chandan. Sahabat-sahabat saya di Kuala Kangsar memaklumkan bahawa mereka yang membuat bantahan dan demonstrasi itu bukannya orang tempatan tapi orang-orang luar. Orang-orang Kuala Kangsar terpaksa berkurung di rumah kerana dan cukup menyampah atas tindakan biadap mereka ke atas DYMM Sultan sehingga ada yang dilaporkan menghalang dan melempar batu kepada kereta yang membawa Raja Muda. Ini jelas perbuatan kurang ajar, yang pastinya bukan menggambarkan sikap orang-orang Melayu di Negeri Perak yang amat menghormati sultannya.
Lebih saya kesali, mereka yang melakukan demonstrasi dan dijadikan perisai di barisan hadapan untuk berdepan dengan pasukan FRU, semuanya orang-orang Melayu. Di mana yang lain? Di mana mereka yang dikatakan sehati sejiwa di dalam PR? Adakah mereka menjadi dalang di sebalik semua ini? Maka orang-orang Melayulah yang kelihatan derhaka kepada Sultan. Itu mereka harus renungi.
Saya percaya perkara ini akan reda tidak lama lagi, apabila PR akan mula terima hakikat yang mereka telah tersilap percaturan dan hilang pemerintahan 10 bulan mereka itu. Mungkin mereka selepas ini harus bermuhasabah, melihat kembali di mana silap mereka sehingga boleh menjadi begitu leka sekali.
Kepada Dr Zambry dan pasukannya, saya ingin menyatakan sokongan padu dan sedia membantu dengan ahli-ahli Puteri untuk memenangi kembali hati rakyat Negeri Perak. Ia adalah tugas yang besar dan berat untuk mendapat kepercayaan mereka bahawa Kerajaan BN adalah yang terbaik untuk mereka.
Banyak perkara yang perlu dilakukan dan diperbaiki di semua peringkat, baik di dalam UMNO, BN ataupun pentadbiran Kerajaan Negeri. Kesilapan-kesilapan yang lalu sehingga Perak boleh terlepas ke tangan pembangkang dalam pilihanraya yang lalu, jangan diulangi. Semua jentera parti dan juga pentadbiran harus selalu turun padang untuk mendengar suara rakyat dan berusaha memberi perkhidmatan yang terbaik kepada mereka.
Sunday, February 8, 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)