Sunday, October 5, 2008

Kunjung mengunjung di Hari Raya

Salam semua,

Hari ini genap 5 hari kita menyambut Syawal. Ada yang mengatakan sambutan raya di Malaysia adalah sebulan, cukup meriah dengan tradisi rumah terbuka, kunjung mengunjung saudara mara dan sahabat taulan.

Saya juga tidak putus-putus dikunjungi oleh saudara dan sahabat ke rumah. Paling istimewa adalah kunjungan nenek saudara Pah Chu yang datang dari Kg Berala, Perak bersama-sama anak-anaknya, Pak Lang Gie dan Mak Ngah Nim sekeluarga.

Dalam gambar di atas, Pah Chu di belakang, mak dan Pak Lang Gie di kiri dan kanan saya. Pah Chu adalah satu-satunya nenek saudara yang masih ada lagi

Pah Chu ni dah 79 tahun, orangnya kecil sahaja tapi masih kuat berbasikal berbatu-batu untuk menoreh getah dan berkebun. Walaupun pada usia tua itu sepatutnya dia berehat sahaja di rumah tapi tetap mahu bekerja kerana mahu terus aktif dan sihat.

Mungkin itulah rahsia Pah Chu yang Alhamdulillah sehingga kini tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yang serius seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis. Hidupnya cukup sederhana dan sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diterimanya.

Saya cukup gembira bila Pah Chu datang berkunjung ke rumah saya, sekaligus mempertemukan tiga generasi wanita dalam keluarga sebelah mak. Saya doakan Pah Chu untuk terus sihat, dirahmati Allah dan dapat terus melihat keluarganya berkembang.

Pada saya budaya kunjung mengunjung adalah sesuatu yang harus kita galak dan lakukan, terutama sekali di bulan yang mulia ini bagi mengikat serta mengukuhkan silaturahim dengan bermaaf-maafan serta menambah kemesraan sesama kita.

Kepada mereka yang pulang dari kampung halaman ke rumah masing-masing hari ini, pandulah kenderaan dengan berhati-hati dan semoga selamat sampai ke destinasi masing-masing.


No comments: