Salam semua,
Antara keistimewaan Hari Raya di Malaysia yang saya rasa tidak ada di mana-mana pun di dunia ini ialah majlis rumah terbuka Hari Raya yang boleh dikatakan ada sahaja di setiap hari sepanjang bulan Syawal.
Budaya rumah terbuka ini berasal dari amalan budaya orang Melayu yang mengaitkan kemuliaan bulan Syawal sebagai waktu yang paling baik untuk kunjung mengunjung, bermaaf-maafan dan merapatkan silaturahim. Syawal ini memang istimewa kerana pada waktu ini hati menjadi lebih lembut dan terbuka untuk memohon dan memberi kemaafan.
Maka apabila berkunjung ke rumah terbuka, hati pengunjung dan juga tuan rumah semestinya ikhlas dan bersih daripada sebarang prasangka ataupun niat yang tidak baik.
Sebagai tuan rumah, kita terima sesiapa sahaja yang berkunjung walaupun mereka yang pernah menyakitkan hati, dengan niat inilah waktu yang terbaik untuk melupakan pergeseran yang lalu. Nama pun rumah terbuka, ia terbuka kepada sesiapa sahaja untuk berkunjung.
Sebagai pengunjung, haruslah menghormati tuan rumah dengan mendoakan yang terbaik dan kesejahteraan untuk tuan rumah dan mengharapkan hubungan akan menjadi lebih rapat dan baik.
Itulah antara perkara-perkara asas budaya kunjung mengunjung dan berkembang menjadi rumah terbuka di Malayasia ini. Begitu kuatnya budaya ini, pemimpin-pemimpin besar negara mengadakannya setiap tahun di mana orang ramai bebas berjumpa, bersalaman malah bergambar dengan pemimpin-pemimpin ini tanpa sebarang sekatan ataupun kawalan ketat.
Saya tak boleh bayangkan budaya ini menjadi amalan umpamanya pemimpin di Amerika Syarikat ataupun Great Britain yang fobia dengan segala jenis ancaman.
Jadi, apabila ada pengunjung ke rumah terbuka yang mempunyai niat yang tidak bersih dan suci terhadap tuan rumah, ia jelas melanggar perkara asas budaya ini. Pendek kata, bagi orang Melayu ia adalah sesuatu yang biadap dan kurang ajar.
Memang benar kata sesetengah orang, kalaulah perkara ini berlaku di kampung-kampung Melayu, sudah lama mereka ini dihalau. Namun, ramai yang boleh bersabar dan mungkin ada baiknya supaya kebiadapan dan sikap kurang ajar mereka ini dapat dilihat oleh orang lain dan dijadikan sempadan.
Orang Melayu sememangnya bangsa yang lemah lembut dan sangat menghormati tetamu. Mana tidaknya, tanah Melayu ini rela dikongsi dengan bangsa lain. Keistimewaan dan keutamaan orang Melayu juga semakin hari semakin banyak dilepaskan demi menjaga hati bangsa lain.
Namun bak kata pepatah - orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa. Jika segala budi baik dan kelembutan orang Melayu ini terus-terusan dibalas dengan kebiadapan, ia sebenarnya mencabar kesabaran dan ketuanan orang Melayu itu sendiri.
Sejarah telah menunjukkan kesan dan akibat apabila kesabaran orang Melayu ini sudah hilang tidak boleh dibendung lagi, dan saya mengharapkan ia tidak akan sampai ke situ kerana inginkan negara yang aman damai untuk kita semua.
Jadi apabila kita kunjung berkunjung ke rumah-rumah terbuka sepanjang Syawal ini, lakukanlah dengan niat yang baik dan hati yang bersih. Inilah masa yang terbaik untuk mengeratkan silaturahim dan menguatkan perpaduan sesama kita.
Wednesday, October 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
tanah melayu x dkongsi tapi milik bersama. Kalau kes 513 berlaku awal 2 tahun lagi, kemerdekaan kita dah lama kena tarik balik. Malaysia adalah tanah kurniaan british kpada melayu, cina n india!
Post a Comment