Saturday, January 31, 2009

Awliya...


Salam semua,

Alhamdulillah, anak saya yang sulung si Awliya sudah bertambah baik dan semalam saya bawa dia pergi shopping untuk menghiburkan hatinya. Sejak dia memulakan persekolahan awal bulan ini, dia asyik cramp dan kurang sihat sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian selama beberapa hari, minggu lepas. Doktor tidak dapat mengesan sebarang perkara yang serius. Mungkin agaknya tekanan bersekolah di sekolah asrama dan tinggal berjauhan daripada keluarga, buat pertama kali. Minggu depan dia akan kembali bersekolah dan harap-harap Awliya akan bertambah baik dan dapat belajar dengan baik.

Apa-apapun, saya memang berbangga dengan Awliya ini kerana dia seorang yang berdikari dan seboleh-bolehnya cuba menyelesaikan masalahnya sendiri tanpa menyusahkan orang lain sehinggakan hanya selepas seminggu dia asyik keluar masuk bilik sakit di sekolahnya, barulah saya diberitahu. Tak apalah, semoga jiwanya kental dan kuat.

Di sini adalah gambar Awliya mengetuai pembacaan ikrar untuk pelajar-pelajar baru di sekolahnya. Hmmm...ke mana lagi tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi :).

Thursday, January 29, 2009

Sayap UMNO tetap relevan

Salam semua,

Saya terpanggil untuk memberi komen selepas mendapat tahu mengenai kenyataan Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen berhubung cadangan beliau untuk membubarkan semua sayap UMNO bagi mengekang masalah politik wang di dalam parti. Tersiar di TV3, beliau menyifatkan perebutan jawatan dalam sayap ini menggalakkan lagi masalah politik wang dan orang-orang muda di dalam Pemuda dan Puteri UMNO seharusnya menumpukan kepada pelajaran dan kerjaya.

Tersentak sebentar apabila saya mendapat tahu kenyataan beliau itu, namun setelah berfikir beberapa lama, saya berpendapat itu adalah kenyataan peribadi beliau sebagai seorang veteran dalam UMNO. Mungkin itu adalah luahan rasa kekecewaan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Tatatertib UMNO yang saban hari terpaksa menangani pelbagai macam aduan mengenai politik wang, terutamanya menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada bulan Mac nanti.

Saya anggap ia adalah teguran seorang ayah yang mungkin sudah jelak melihat kerenah anak-anaknya yang tidak habis-habis melanggar nasihat. Yelah, saya juga pernah cakap dengan anak-anak saya "dah kalau kamu bertiga asyik bergaduh dan tak nak tolak ansur pilih channel tv, Umi buang aje tv ni". Rasanya ayat itu sudah banyak kali kita dengar malah guna, sebagai ibu bapa. Ia bukan bermaksud kita memang benar-benar mahu membuang tv itu, tetapi sebagai peringatan dan amaran kepada anak-anak supaya mereka berfikir sebentar apa yang akan berlaku jika mereka terus-terusan tidak mahu bertolak ansur. Begitulah tanggapan saya mengenai kenyataan Tan Sri.

Di suatu sudut pandangan yang lain, saya beranggapan kesemua sayap yang ada di dalam UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri adalah relevan dan penting untuk parti. Setiap sayap mempunyai fungsi dan tugas tertentu bagi memenuhi kehendak setiap segmen dalam masyarakat supaya UMNO dapat memberi perkhidmatan dan memperjuangkan kepentingan rakyat secara menyeluruh.

UMNO kini bukanlah UMNO 50 tahun dahulu yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. UMNO kini adalah untuk memastikan kemakmuran berterusan hasil kemerdekaan yang dicapai, survival dan kepentingan orang Melayu dan juga rakyat Malaysia secara umumnya terpelihara. UMNO kini berhadapan dengan generasi muda yang lahir selepas merdeka yang berfikiran sama sekali berbeza dengan angkatan pemimpin UMNO yang berjuang sebelum merdeka. Pilihanraya yang lalu membuktikan bahawa pengundi generasi muda inilah yang membawa perubahan yang besar kepada keputusan pilihanraya itu.

Daripada kita menghapuskan sayap-sayap ini, saya berpendapat UMNO harus mempelbagaikan lagi wadah untuk mendekatkan diri dengan generasi muda ini, melalui sayap-sayap baru yang tidak bermotifkan politik. Kita harus akui pandangan negatif generasi muda ini terhadap politik ataupun UMNO itu sendiri dan seharusnya ada pendekatan yang berbeza untuk mengubah persepsi ini supaya sokongan dapat diberi kepada parti dalam pilihanraya akan datang. Ini adalah antara rencana saya jika diberi kepercayaan untuk menerajui Puteri UMNO.

Saya tidak boleh perjuangkan ini berseorangan dan saya perlukan sokongan dan bantuan anda untuk membantu saya mendekati mereka ini, memulihkan pandangan negatif mereka terhadap UMNO dan bersama memperjuangkan parti, Insya-Allah.

Wednesday, January 7, 2009

Program Doktor Turun Padang di KT...



Salam semua,

Kerancakan berkempen di Kuala Terengganu semakin hangat. Hari ini, saya dan ahli-ahli Puteri dan juga jentera BN yang lain mengadakan program Doktor Turun Padang di Kg Pantai. Program ini cukup bagus dengan mengadakan perkhidmatan perubatan percuma kepada penduduk-penduduk kampung, terutamanya warga emas.

Dalam perjalanan pulang, kami terjumpa makcik ni sedang duduk di tepi rumah orang di Kg Pantai. Sakit lutut katanya, dan tidak berdaya berjalan ke pusat perhentian bas untuk pulang ke rumahnya di Ladang. Simpati kepada makcik ini, kami menghantarnya terus ke rumah dengan kereta.

Okay, banyak lagi program yang perlu dilakukan. Jumpa lagi.


Tuesday, January 6, 2009

Berkempen di Kuala Terengganu


Salam semua,

Harap tidak terlewat untuk saya ucapkan Selamat Tahun Baru 2009 kepada semua. Saya agak kesibukan dan ketika ini saya di Kuala Terengganu bersama-sama dengan jentera pilihanraya BN untuk berkempen di pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu. Sejak diumumkan bulan lalu, saya dan beberapa teman Puteri WP sudah beberapa kali ke KT untuk membantu calon BN, Dato' Wan Ahmad Farid, berkempen bagi memastikan kerusi ini kekal di tangan BN.

Setakat ini jentera kempen bergerak dengan lancar dan kita tidak menghadapi sebarang masalah yang rumit untuk melaksanakannya. Ok lah, tak dapat nak celoteh panjang kerana pagi ni adalah penamaan calon dan saya akan beramai-ramai di sana bersama-sama jentera BN. Jumpa lagi :)