Salam semua,
Saya terpanggil untuk memberi komen selepas mendapat tahu mengenai kenyataan Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen berhubung cadangan beliau untuk membubarkan semua sayap UMNO bagi mengekang masalah politik wang di dalam parti. Tersiar di TV3, beliau menyifatkan perebutan jawatan dalam sayap ini menggalakkan lagi masalah politik wang dan orang-orang muda di dalam Pemuda dan Puteri UMNO seharusnya menumpukan kepada pelajaran dan kerjaya.
Tersentak sebentar apabila saya mendapat tahu kenyataan beliau itu, namun setelah berfikir beberapa lama, saya berpendapat itu adalah kenyataan peribadi beliau sebagai seorang veteran dalam UMNO. Mungkin itu adalah luahan rasa kekecewaan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Tatatertib UMNO yang saban hari terpaksa menangani pelbagai macam aduan mengenai politik wang, terutamanya menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada bulan Mac nanti.
Saya anggap ia adalah teguran seorang ayah yang mungkin sudah jelak melihat kerenah anak-anaknya yang tidak habis-habis melanggar nasihat. Yelah, saya juga pernah cakap dengan anak-anak saya "dah kalau kamu bertiga asyik bergaduh dan tak nak tolak ansur pilih channel tv, Umi buang aje tv ni". Rasanya ayat itu sudah banyak kali kita dengar malah guna, sebagai ibu bapa. Ia bukan bermaksud kita memang benar-benar mahu membuang tv itu, tetapi sebagai peringatan dan amaran kepada anak-anak supaya mereka berfikir sebentar apa yang akan berlaku jika mereka terus-terusan tidak mahu bertolak ansur. Begitulah tanggapan saya mengenai kenyataan Tan Sri.
Di suatu sudut pandangan yang lain, saya beranggapan kesemua sayap yang ada di dalam UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri adalah relevan dan penting untuk parti. Setiap sayap mempunyai fungsi dan tugas tertentu bagi memenuhi kehendak setiap segmen dalam masyarakat supaya UMNO dapat memberi perkhidmatan dan memperjuangkan kepentingan rakyat secara menyeluruh.
UMNO kini bukanlah UMNO 50 tahun dahulu yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. UMNO kini adalah untuk memastikan kemakmuran berterusan hasil kemerdekaan yang dicapai, survival dan kepentingan orang Melayu dan juga rakyat Malaysia secara umumnya terpelihara. UMNO kini berhadapan dengan generasi muda yang lahir selepas merdeka yang berfikiran sama sekali berbeza dengan angkatan pemimpin UMNO yang berjuang sebelum merdeka. Pilihanraya yang lalu membuktikan bahawa pengundi generasi muda inilah yang membawa perubahan yang besar kepada keputusan pilihanraya itu.
Daripada kita menghapuskan sayap-sayap ini, saya berpendapat UMNO harus mempelbagaikan lagi wadah untuk mendekatkan diri dengan generasi muda ini, melalui sayap-sayap baru yang tidak bermotifkan politik. Kita harus akui pandangan negatif generasi muda ini terhadap politik ataupun UMNO itu sendiri dan seharusnya ada pendekatan yang berbeza untuk mengubah persepsi ini supaya sokongan dapat diberi kepada parti dalam pilihanraya akan datang. Ini adalah antara rencana saya jika diberi kepercayaan untuk menerajui Puteri UMNO.
Saya tidak boleh perjuangkan ini berseorangan dan saya perlukan sokongan dan bantuan anda untuk membantu saya mendekati mereka ini, memulihkan pandangan negatif mereka terhadap UMNO dan bersama memperjuangkan parti, Insya-Allah.
Thursday, January 29, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment