Salam semua,
Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada parti tercinta UMNO atas sambutan ulang tahun ke-63. Alhamdulillah syukur kita ke hadrat-Nya atas limpah kurnia-Nya maka parti politik terulung untuk orang Melayu masih lagi ada, utuh dan terus mantap dalam menangani pelbagai cabaran baik dari dalam ataupun luar. Di sambutan ulang tahun ini, kita juga harus berterima kasih kepada bapa-bapa pejuang UMNO yang membina asas parti ini, bagi mempertahankan hak-hak orang Melayu, sehinggalah ia menjadi parti politik yang terbesar di Negara ini. Tanpa UMNO ketika itu, mungkin kita tidak memperolehi kenikmatan yang kita rasai sekarang.
Namun, benar seperti kata-kata Perdana Menteri kita, sementelah kita berbangga dengan kekayaan sejarah, tradisi, kejayaan dan kegemilangan UMNO selamat 63 tahun, kita tidak boleh terlalu bernostalgia mengenainya. Ya, kita bangga dengan UMNO, tapi tidak boleh membiarkan kejayaan lalu membuai dan meleka kita daripada berhadapan dengan realiti politik sekarang dan juga akan datang yang jauh beza berbanding 63 tahun yang lalu.
Perjuangan UMNO sekarang mesti seiring dengan perkembangan semasa di mana kehendak ahli-ahli adalah berbeza dan kehendak rakyat juga berbeza. Mungkin asas perjuangan adalah sama, tapi perlaksanaan dan wadahnya berbeza. Ini tidak dapat dielakkan dan perubahan-perubahan ini harus dilakukan bagi memastikan UMNO tetap relevan.
Seperti tradisinya, sambutan ulang tahun disambut dengan bacaan Yassin, majlis tahlil dan doa selamat. Jika kita tidak menyertai majlis-majlis anjuran UMNO, kita tetap boleh melakukannya di rumah bersama-sama keluarga. Rasanya itu lebih afdal dan bermakna agar kita sekeluarga melahirkan rasa kesyukuran dan memanjatkan doa supaya UMNO tetap utuh dan diberi keberkatan dan panduan oleh Illahi.
Kita sedekahkan juga bacaan Yassin dan tahlil kepada pejuang-pejuang UMNO yang telahpun meninggalkan kita. Semoga mereka berada di kalangan orang-orang yang beriman. Amin
Monday, May 11, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment