Salam semua,
Saya rasa masih belum terlewat untuk saya mengulas sedikit mengenai kejayaan Barrack Obama yang baru sahaja memenangi jawatan Presiden AS. Kejayaan Obama dikatakan mencerminkan perubahan besar kehendak rakyat AS yang kini berada di dalam krisis ekonomi yang teruk selain daripada moral yang rendah berikutan penglibatan negara itu dalam banyak peperangan ciptaan mereka sendiri, yang telah mengorbankan ribuan nyawa rakyat itu.
Saya ikuti perjalanan Obama ke White House dengan penuh minat sejak dia mula berkempen menentang Hillary Clinton bagi mewakili parti Demokrat untuk pertandingan jawatan Presiden AS. Ketika itu kedua-dua calon Demokrat cukup menarik di hati saya kerana jika Clinton menang, dia akan menjadi calon Presiden AS wanita yang pertama - wow, seorang wanita memimpin AS. Dan jika Obama menang ketika itu, dia akan jadi calon Presiden AS pertama berkulit hitam.
Dengan dua pilihan calon yang cukup baik, parti Demokrat sememangnya menguntungkan dan seterusnya Obama menang, dan kini muncul sebagai Presiden AS yang pertama berkulit hitam.
Tidak dapat dinafikan bahawa Obama adalah seorang pemimpin yang berkarisma, cukup meyakinkan bila berada di atas pentas. Ucapan dan manifestonya cukup jelas ingin membuat perubahan besar untuk negaranya. Dan ini memang seiring dengan kehendak rakyat AS yang inginkan perubahan lalu memilihnya.
Selepas kemenangan Obama, analisis demi analisis dilakukan ke atas rahsia kejayaannya yang dikatakan telah meroboh tembok warna kulit, sesuatu yang dikatakan cukup tebal di kalangan golongan kulit putih, majoriti rakyat AS. Antara analisis yang menarik perhatian saya ialah undian terbanyak Obama datangnya daripada pengundi golongan muda. Mereka ini dilabel sebagai generasi Y yang lahir dalam dunia digital, suatu dunia virtual yang merentasi sempadan sosial, politik, agama, geografi dan budaya.
Obama jelas mengenali generasi ini dan memahami kehendak mereka yang sudah mual dengan pentadbiran kerajaan AS yang dahulu berlagak menjadi polis dunia dan pembuli ke atas negara-negara kecil tidak bermaya. Generasi ini juga jelak dengan keangkuhan ahli-ahli politik berfikiran lama yang masih lagi dibelenggu dengan cara politik lama dan konservatif.
Saya tidak dapat tidak mengaitkan bahawa senario yang sama juga berlaku di Malaysia dan ia jelas ditunjukkan dalam keputusan PRU12 yang lalu. Sentimen ini jelas berlaku di serata dunia dan apa yang saya boleh fikirkan, ini kerana golongan generasi muda ini dibentuk oleh corak pemikiran yang sama di dalam dunia digital, maka di situlah persamaan ataupun hubungan mereka. Jelas, mereka adalah kunci kekuatan politik sekarang dan sekurang-kurangnya beberapa dekad yang akan datang.
Banyak lagi yang boleh dipelajari di sini dan saya percaya ia perlu dianalisis dengan lebih mendalam lagi supaya Puteri UMNO kekal relevan dan "keep in touch" dengan generasi muda ini. Bebeberapa perkara telahpun dilaksanakan dan banyak lagi yang dalam perancangan dan saya yakin semuanya akan memberi hasil yang positif.
Berbalik kepada Obama, walaupun saya percaya dia akan melakukan banyak perubahan, saya masih lagi skeptik dia akan membuat perubahan yang besar dalam polisi luar negara, teruatamanya polisi di Palestin, Afghanistan, Iraq dan juga Iran. Namun, saya sangat gembira jika dia dapat buktikan bahawa pandangan saya ini salah.
Saturday, November 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment