Friday, December 5, 2008

Politik wang, Puteri dan BPR....

Salam semua,

Isu politik wang kini hangat diperkatakan, dan teropong kini dihalakan ke Puteri UMNO dgn dakwaan penglibatan sama ada secara langsung dan tidak langsung. Yang terbaru baru-baru ini beberapa orang Puteri telah disoal siasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung kes siasatan politik wang di Negeri Sembilan.

Nampaknya Puteri UMNO tidak terlepas daripada bahang politik wang ini dan mahu atau tidak ia akan menjadi percakapan ramai pihak, baik di dalam organisasi kita ini, ataupun orang ramai di luar sana yang membina pelbagai tanggapan mengenainya.

Secara terus terang saya agak bosan dengan tuduhan-tuduhan liar mengenai politik wang di dalam UMNO. Ramai yang memperkatakannya, tapi tidak ramai yang berani untuk tampil ke hadapan dengan bukti-bukti yang kukuh.

Saya percaya Puteri UMNO masih terpelihara daripada pengaruh-pengaruh negatif politik wang ini tapi oleh kerana sifatnya yang berteraskan politik, maka ia tetap terkena tempias pandangan serong orang di luar sana.

Beginilah, saya mengalu-alukan pihak BPR untuk memantau pertandingan Puteri UMNO ini ataupun menyoal siasat mana-mana calon yang bertanding berhubung dengan politik wang.

Saya melihat ini dari sudut pandangan yang positif kerana apabila BPR sudah siasat dan mendapati calon berkenaan bersih daripada politik wang, maka senanglah calon itu bekerja dan berkempen untuk pertandingan jawatan. Tak perlulah calon berkenaan menghabiskan sebahagian besar masanya hanya semata-mata untuk menangkis tuduhan-tuduhan liar mengenai politik wang.

Dengan cara ini juga, BPR dapat membantu membersihkan pandangan-pandangan serong terhadap Puteri. Yelah, kalau BPR dah kata ok, apa yang nak dipertikaikan lagi, bukan? Jika kita bersih dan beradab ketika berkempen, tiada apa yang hendak ditakutkan.


No comments: