Monday, August 4, 2008

Penat...tapi seronok

Salam semua,

Selepas selesainya program Jom Cari Kerja di Gombak Setia, Sabtu lalu, saya rasa cukup penat tapi ia juga menyeronokkan. Segala penat lelah membuat persiapan program tersebut berbayar apabila melihat ia menerima sambutan yang cukup baik.

Pusat Komuniti Gombak di mana program itu berlangsung bukan sahaja dikunjungi oleh mereka yang tinggal di sekitar kawasan berdekatan malah dari Shah Alam, Klang, Kajang dan ada juga yang datang dari Seremban.

Saya juga gembira dengan kehadiran YB Dato' Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia, merangkap Ketua Puteri UMNO Malaysia, yang telah sudi meluangkan masa untuk hadir merasmikan program sehari ini.
Sokongan beliau memberi saya lebih keyakinan untuk meneruskan lagi program ini yang akan diadakan di Melaka dan beberapa negeri lain, tidak lama lagi.

Alhamdulillah, banyak juga yang telah mendapat pekerjaan setelah menghadiri temuduga terbuka yang dilakukan oleh beberapa syarikat di program tersebut.

Ramai juga yang mendapat manfaat dengan mengambil bahagian dalam beberapa bengkel dan ceramah yang membantu mereka menulis resume yang baik, cara-cara menghadapi temuduga dengan yakin dan lain-lain lagi.

Memandangkan sambutan yang baik untuk program pertama ini, saya berazam untuk mempertingkatkan lagi pengisiannya dengan cuba menarik lebih ramai sektor swasta untuk mengambil bahagian supaya objektif mengurangkan kadar pengangguran terutamanya di kalangan golongan belia, tercapai.

Terima kasih saya kepada rakan-rakan dan ahli-ahli jawatankuasa Briged Puteri MAPIN (Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Nasional) yang telah membantu saya menjadikan program ini sukses. Terima kasih juga kepada YBhg Dato’ Suhaimi Yacob, Timbalan MAPIN yang turut sudi hadir untuk memberi sokongan.

Jadi saya berharap untuk bertemu lagi di program yang sama tidak lama lagi. Nantikan sahaja pengumuman yang akan dibuat di sini ataupun melalui media massa.

Di sini, ada beberapa keping gambar program berkenaan.















No comments: