Monday, July 21, 2008

Prasyarat Baru Menjadi Pemimpin

Salam semua.

Saya adalah antara jutaan rakyat Malaysia yang terpaku di hadapan televisyen menyaksikan debat di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Ahmad Shabery Cheek, baru-baru ini.

Banyak persoalan dan jawapan dibincangkan sepanjang debat sepanjang satu jam itu dengan masing-masing memberi hujah-hujah yang bernas dan padat. Saya rasa tak perlulah saya ulas panjang-panjang mengenai debat itu kerana masing-masing punya pendapat masing-masing dan nanti kita pula yang akan berdebat.

Tapi yang saya ingin tekankan, berlangsungnya debat itu sebenarnya suatu titik sejarah bagi politik negara ini kerana ia adalah julung-julung kali diadakan di televisyen di antara parti pemerintah dan parti pembangkang yang diadakan secara langsung dan dipancarkan ke seluruh negara untuk tontonan rakyat.

Berlatarbelakangkan senario politik negara, ia memerlukan keberanian yang luar biasa dan persediaan yang teliti sebelum seorang ahli politik mampu untuk berdebat mengenai suatu topik yang hangat seperti kenaikan harga minyak, di pentas terbuka.

Namun yang lebih penting lagi adalah majlis debat itu melambangkan sikap keterbukaan pihak Kerajaan. Ini adalah konsisten dengan kenyataan Pak Lah yang sedia untuk mendengar lebih banyak pendapat dan cadangan daripada semua pihak, termasuk pihak pembangkang demi kebaikan negara.

Malah jika kita teliti sekarang, pihak pembangkang tidak punya alasan untuk mendakwa mereka tidak punya ruang untuk bersuara kerana saya fikir ruang untuk mereka sekarang jauh lebih baik jika dibandingkan 10 tahun lalu.

Selain daripada saluran media perdana, saluran media alternatif menjadi rujukan dengan ratusan laman web, blog dan berita internet yang sentiasa menyediakan pihak pembangkang ruang untuk bersuara, tanpa sebarang kawalan oleh Kerajaan.

Jadi, majlis debat itu pada pendapat saya adalah suatu permulaan yang baik dan diharapkan akan diteruskan lagi dengan tajuk-tajuk menarik untuk kebaikan rakyat.

Ini juga adalah isyarat daripada pucuk pimpinan kepada kita untuk memantapkan lagi kemahiran diri untuk berucap di khalayak ramai, membuat kajian teliti dan bersedia untuk berhujah dengan bernas serta berhemah.

Pada saya ini adalah prasyarat baru untuk menjadi pemimpin yang baik. Persoalannya, adakah kita bersedia untuk menyambut cabaran ini?

2 comments:

Penduga Arus said...

YBHG Datin

saya merupakan seorang mahasiswi di kampus.say melihat prasyarat yg diberikan oleh Datin cukup menarik dan elegan..nanti boleh x nati datin ke kampus saya (UTHM) utk bagi talk?

Anonymous said...

YBHG Datin,

Mudah sangat jadi pemimpin. Apa yg di kata mesti dikota.

Kalau dato Sabery Cheek dah kata akan letak jawatan kalau kalah berdebat dgn DSAI, letak aje jawatan. barulah dapat kami bangga ada pemimpin yg benar.