Tuesday, December 29, 2009

Mesyuarat Agung dan Konvensyen Kebangsaan MAPIM





Salam semua,

Mesyuarat Agung MAPIM Kebangsaan telah diadakan di Hotel Seri Malaysia, Ipoh, pada 25 Disember 2009 telah di rasmikan oleh YB Dato' Nazri Ismail ADUN Manjoi yang juga Pengerusi Yayasan Perak. Mesyuarat tersebut telah dihadiri hampir 200 perwakilan dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Pada 26 Disember 2009 di tempat yang sama juga telah diadakan Konvensyen Pendidikan Keibubapaan dan Kekeluargaan 1Malaysia yang telah di rasmikan oleh YAB Datuk Seri Zamry Kadir, Menteri Besar Perak.



















Tuesday, December 22, 2009

Mesyuarat Belia 4B Kebangsaan




Salam semua,

20hb Disember2009 kitaorang Belia 4B Petaling Jaya Selatan bertolak ke Melaka, berkonvoi tiga kereta. Dua kereta lagi sampai lambat sebab ada kerja yg perlu diselesaikan.

Perwakilan kami tiga org tak termasuk Badd sebab dia AJK Kebangsaan. Sampai aje kami pun mendaftar dan makan tengahari Nasi Ayam . Jumpa ramai kawan lama macam Emy Melaka, Wati Seremban, kp3 Jempol, Nurul, Ros Ipoh Timur, k Yang, Linda Kemaman dan ramai lagi. Lepas tu dengar taklimat Dato Uncle (setiausaha Agung Belia 4B). lepas taklimat kami pun berehat sebelum makan malam dan konvensyen Arah dan Masa Depan Belia. Panel Dato Hashim Suboh, En Azizudin Naib Presiden MBM dan En Shukor, Presiden Penaja Belia 4B malaysia. Moderator Muammar Gaddafi Dato Wira Jamaludin.

Esoknya kami mesyuarat sampai petang.

Monday, November 9, 2009

Kem Rakan Remaja Patriotik


Salam semua,
Mimbar Permuafakatan IbuBapa Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) telah menganjurkan satu program Kem Remaja Patriotik 2009 pada 06hb hingga 08hb November 2009 bertempat di Kem Bina Semangat Yayasan Selangor, Kuala Kubu Bharu Selangor.
Program ini adalah bertujuan untuk memupuk dan meningkatkan semangat nasionalisme dan patriotisme serta memulihkan dan mengukuhkan lagi semangat kesukarelaan bagi menjalankan kerja yang berasaskan patriotisme di kalangan generasi muda.
Pada saya, sekiranya remaja dan belia hari ini tidak mengetahui sejarah atau fakta mengenai usaha menuntut kemerdekaan negara, maka rasa sayang mereka akan luntur. Kesan lain juga timbul termasuklah hilangnya rasa tanggungjawab dalam mengekalkan keamanan dan kedaulatan negara. Dalam hal ini, kesedaran sejarah dalam kalangan generasi muda amat penting untuk dijadikan bekal, panduan dan sebagai persiapan awal sebelum mereka menerajui pengurusan, pembangunan dan kepimpinan negara.

Peristiwa masa lalu perlu dijadikan pengajaran dan iktibar untuk membentuk masa depan belia yang lebih cemerlang. Generasi muda adalah aset penting bagi negara dan perlu diberi perhatian secara berterusan. Untuk itu, mereka perlu dibentuk dan diterapkan dengan nilai-nilai murni termasuk sikap saling bantu-membantu, sayang-menyayangi dan prihatin terhadap gejala sosial yang berlaku di sekeliling. Justeru, saya akan terus berusaha menganjurkan program serupa yang juga dilihat mampu memulihkan dan mengukuhkan semangat kesukarelaan berasaskan patriotisme.

Terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, YB Mohd Isa Abu Kasim kerana telah sudi hadir merasmikan penutupan kem tersebut dan terima kasih juga kepada IKSEP kerana sudi bekerjasama serta jawatankuasa MAPIM Selangor dan juga kepada mereka yang telah menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada kejayaan kem tersebut.

Friday, September 11, 2009

Menabung Seawal Usia


Biro Briged Putri Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Nasional (MAPIN) dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Mara telah mengadakan Program Sentuhan Ramadhan-Menabung Seawal Usia yang mensasarkan kepada 300 orang anak yatim dan kurang berkemampuan di sekitar Wilayah Persekutuan, bertempat di Dewan Megapuri Bangunan DBKL Kuala Lumpur.

Program Sentuhan Ramadhan - Menabung Seawal Usia yang telah dilancarkan Ramadhan 2008 yang lalu ini, ada satu langkah proaktif untuk memberi kesedaran serta menggalakan anak-anak yang kurang bernasib baik menyimpan untuk kegunaan masa hadapan. Pihak Biro Briged Putri Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) akan membantu membuka akaun peribadi dan menyampaikan deposit kepada seramai 300 anak-anak yatim dan kurang berkemampuan untuk membuka akaun bagi tujuan program ini.

Program ini bertujuan melatih mereka untuk menyemai sikap berjimat-cermat sejak dari kecil lagi dan mendidik serta membantu menyediakan peluang untuk anak-anak yatim dan kurang berkemampuan ini menabung dan menyimpan. Program ini telah mensasarkan golongan anak-anak yatim dan kurang berkemampuan sekitar Wilayah Persekutuan terutama mereka yang masih belum mempunyai akaun simpanan serta beberapa kriteria-kriteria yang boleh dipertimbangkan.

Pihak penganjur berharap, program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan menjadi harapan kami agar usaha kita ini dapat membantu mereka untuk memupuk kesedaran betapa pentingnya amalan menabung dan menyimpan.

Monday, August 31, 2009

Hari Jadi Iffa






Salam Ramadhan,

Selamat hari jadi Iffa. Pada 30 Ogos yang lalu saya sekeluarga telah membuat satu majlis berbuka puasa dan menjemput hanya saudara mara terdekat sahaja serta sambutan hari jadi anak ke2 saya, Reena Iffatul Camelia yang berusia 10 tahun.

Sebagai kejutan, saya telah menjemput pelakon popular Liana Jasmay sebagai hadiah untuk Iffa kerana Iffa betul-betul meminati pelakon tersebut. Terima kasih pada Liana Jasmay serta ibunya Pn. Habshah sekeluarga kerana telah sudi meluangkan masa untuk hadir pada majlis malam tersebut dan berbuka puasa bersama keluarga kami.

Alhamdulillah majlis ini berjalan lancar dan saya sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada keluarga kedua belah pihak dan saudara mara kerana telah bersama-sama berbuka puasa dan mengunjungi kami.

Monday, August 24, 2009


Salam Ramadhan.

Sempena kedatangan bulan Ramadhan yang mubarak ini, saya sekeluarga memohon ribuan kemaafan di atas segala ketelanjuran bicara atauakhlak yang kurang menyenangkan.

Semoga setiap ibadah dan kebaikan yang dilakukan di dalam bulan yang mulia ini akan mendapat keberkatan dari ALLAH SWT.

Selamat Menyambut bulan Ramadhan 1430H

Sunday, August 16, 2009

Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian





Salam semua, pada 15 Ogos 2009 yang lalu, saya telah menjadi perwakilan untuk Mesyuarat Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Wangsa Maju dan ini adalah kali pertama saya menghadiri mesyuarat bahagian sebagai wanita UMNO selepas tidak bergelar Puteri UMNO lagi.

Mesyuarat serentak Wanita, Pemuda Dan Puteri UMNO ini telah dirasmikan oleh YBhg Dato' Shafie Abdullah, Ketua Bahagian Wangsa Maju merangkap Setiausaha Politik Menteri Kewangan.

Walaupun suasana dan warna pakaian berbeza, saya tidak berasa janggal kerana kebanyakan ahli-ahli wanita UMNO sudah saya kenali semenjak saya menjadi Ketua Puteri Bahagian lagi. Apa pun semangat untuk menyumbang tenaga dan fikiran bagi memantapkan dan memperkukuhkan parti tidak pernah luntur dan pudar. UMNO tetap dihatiku.

Monday, August 10, 2009

Pencarian Cover Girl NUR/DARA.COM





Pada 9 Ogos 2009 yang lalu, saya telah dijemput sebagai tetamu ke acara kemuncak Pencarian Cover Girl NUR/DARA.COM di Dewan Matrade, MECC Kuala Lumpur.
Acara yang bermula pada jam 2.30 petang itu telah dimulakan dengan persembahan nasyid kanak-kanak dan diikuti dengan tiga finalis bagi Pencarian Cover Girl Dara.com yang telah diberi peluang untuk membuat persembahan di Pertandingan Akhir Pencarian Cover Girl Nur/Dara.com – Safi 08/09. Majlis telah dimeriahkan dengan kehadiharan YB Dato’ Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku tetamu kehormat.
Beberapa orang artis tempatan seperti Yassin dan Bienda telah membuat persembahan. Majlis tersebut juga diserikan dengan kehadiran wakil dari para penaja dan ahli keluarga finalis.
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjurkan kerana telah memberi saya kesempatan untuk menyampaikan hadiah bagi pemenang kategori “Best Dress” dan tahniah kepada penganjur kerana telah berjaya menganjurkan finalis bagi Pencarian Cover Girl Nur 08/09 dengan jayanya.

Saturday, August 1, 2009

Batik Parade




Salam semua. Saya telah dijemput ke Majlis Sambutan Ulangtahun Kedua Galeri Seri Endon, di Galeri Seri Endon Bukit Damansara. Majlis ini telah dirasmikan oleh YABhg Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor Shariff isteri kepada T.Y.T Tun Dato' Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan turut hadir Puan Nori Abdullah selaku Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG).

Perasmian sambutan ulangtahun dimulakan dengan acara pemotongan kek dan diikuti dengan peragaan batik hasil daripada pereka-pereka tempatan dan sebanyak 36 koleksi batik diperagakan. Galeri ini menempatkan himpunan hasil kerja pemenang Piala Seri Endon dan mengenengahkan hasilhasil batik terutamanya hasil kerja batik Kelantan dan Terengganu.

Satu majlis yang saya anggap santai tetapi meriah serta saya terhibur dengan peragaan batik-batik tempatan.

Pelancaran Koperasi YAKEB





Salam sejahtera. Hari ini, 1 Ogos 2009 saya telah hadir Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Permulaan Koperasi Atlet Malaysia Berhad (Penubuhan) yang telah dirasmikan oleh YB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sekolah Sukan Bukit Jalil. Melalui inisiatif Yayasan Kebajikan Atlet Kebangasaan (YAKEB) yang berjaya menubuhkan sebuah koperasi dan keanggotaan Koperasi Atlet Malaysia Berhad ini adalah terbuka kepada semua atlet yang telah dan pernah mewakili negara pada kejohanan bertaraf antarabangsa antaranya sukan Sea, Komenwel dan Olimpik. Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBhg Dato' Paduka Dr Mumtaz Begum Abd Jaafar, YBhg. Datuk Rahim Baba selaku Ahli Lembaga Pengarah suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Tuan Haji Che Wahid Mohamed Noor Ketua Sektor Operasi Kawal Selia SKM dan Tuan Haji Abdullah Mahmood Pengarah SKM Cawangan Kuala Lumpur.

Saya juga sebagai Ahli Lembaga Pengarah YAKEB telah mengambil kesempatan memberi penerangan kepada ahli-ahli koperasi akan tanggungjawab mereka sebagai ahli dan serba sedikit maklumat berkenaan koperasi tersebut.
Tahniah kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangasaan (YAKEB) kerana telah berjaya menubuhkan sebuah koperasi untuk altet-atlet negara.

Sunday, July 26, 2009

Malam Amal YAKEB






Salam semua,

Saya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) telah menghadiri Malam Amal, Anda Tetap di Hati, pada 25 Julai 2009 bertempat di Hotel Marriott, Putrajaya yang bertujuan mengumpul dana YAKEB bagi membantu bekas-bekas atlet yang kurang bernasib baik selepas mereka bersara dari bidang sukan.

Beberapa syarikat korporat seperti kumpulan Berjaya, Yayasan Al-Bukhary, POS Malaysia, Bank Rakyat dan lain-lain lagi telah tampil menghulurkan sumbangan sebagai tangungjawab sosial mereka. Selain itu, pada malam tersebut juga YAKEB telah dilancarkan secara rasmi oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Isteri YAB Perdana Menteri, YABhg Datin Seri Rosmah Mansor telah sudi menyumbangkan beberapa buah lagu pada malam tersebut dan diserikan dengan kehadiran Dato' Shah Rukh Khan dan Rani Mukherjee yang turut berduet bersama beliau. Majlis tersebut juga dimeriahkan oleh ratu jazz tanah air, Shiela Majid dan Ayu One in Million.

Monday, July 13, 2009

HARI KELUARGA PUTERI KAWANKU




Program Hari Keluarga Puteri Kawanku telah dianjurkan dengan jayanya oleh Puteri UMNO Bahagian Hulu Langat pada 12 Julai 2009 (sabtu) bertempat di Lembah Sungai Congkak, Hulu Langat.
Kehadiran para peserta amat menggalakkan yang dihadiri 200 orang ahli puteri yang terdiri dari DUN Kajang, DUN Semenyih dan DUN DUsun Tua. Jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian mengambil inisiatif yang agresif dalam usaha menarik golongan wanita muda menyertai Pergerakan Puteri UMNO melalui kempen menambah keahlian baru di samping mengeratkan ukhuwah antara ahli-ahli puteri dan kepimpinan Puteri Bahagian.
Saya telah dijemput sebagai tetamu khas ke program berkonsepkan santai dan ramah mesra yang julung-julung kali diadakan. Diskusi santai bersama peserta telah memberikan kesedaran dan motivasi kepada seluruh ahli baru Puteri UMNO Bahagian Hulu Langat untuk terus berusaha, komited dan bekerja bersama-sama UMNO.
Menurut Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Hulu Langat, Puan Azah Borhan program santai seumpama ini akan diteruskan dan diperluaskan untuk mendekati golongan wanita muda di Parlimen Hulu Langat. Suasana bertambah ceria dengan aktiviti sukaneka yang dijalankan penuh semangat setiakawan dan kekeluargaan.
Majlis penutup Hari Keluarga Puteri Kawanku telah dirasmikan oleh YB Tuan Johan bin Abdul Aziz, ADUN Semenyih yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat. Pada majlis tersebut, beliau turut melancarkan 'newsletter Hello Pink!' terbitan Biro Penerangan Puteri UMNO Bahagian Hulu Langat .

Sunday, July 12, 2009

Program Rakan Muda PJS




Salam semua, pada 11 Julai 2009 yang lalu saya telah di jemput untuk merasmikan Pertandingan Bola Jaring, bertempat di Tapak Pasar Malam Taman Medan Baru.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Rakan Muda Parlimen Petaling Jaya Selatan itu telah disertai oleh 6 pasukan beliawanis tempatan dan pertandingan ini telah menggunakan format liga. Selain bola jaring, pada masa yang sama pertandingan street soccer bagi golongan belia lelaki turut juga dianjurkan dan sebanyak 22 pasukan telah mengambil bahagian.

Turut hadir memeriahkan lagi majlis saudara Mohd Ezzat Ali selaku Penggerak Rakan Muda Parlimen Petaling Jaya Selatan. Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan Stylo kerana telah berjaya menjuarai pertandingan tersebut.
Tahniah kepada Rakan Muda Parlimen Petaling Jaya Selatan kerana telah berjaya menganjurkan program sebegini untuk belia setempat beriadah dan terima kasih juga kerana telah menamakan pertandingan bola jaring ini sempena nama saya, Piala Datin Sri Ismalina.

Wednesday, June 3, 2009

Untukmu Wanita-Hari Ibu




Pada 30 Mei 2009 yang lalu, Biro Briged Putri Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Nasional (MAPIN) telah menganjurkan Program Untukmu Wanita dan telah diadakan di Auditorium Lembaga Pembangunan & Penduduk Keluarga Negara (LPPKN), Kuala Lumpur.

Program setengah hari ini adalah untuk meraikan para ibu dengan membantu memberi pendidikan pengurusan kredit oleh Agensi Kewangan Pengurusan Kredit (AKPK) serta slot tatarias daripada mingguan wanita serta klinik kesihatan percuma LPPKN.


Program ini dianjurkan serampang dua mata, selain meraikan hari ibu, ia juga bertujuan memberikan pendidikan kewangan mengenai penggunaan kredit secara bertanggungjawab dan kemahiran asas dalam pengurusan wang dan kaunseling serta nasihat mengenai pengurusan kewangan, termasuk membuat belanjawan untuk menguruskan perbelanjaan.
Slot tatarias juga telah membantu peserta menimba pengetahuan tentang teknik tatarias dan penampilan diri, rata-rata peserta terhibur dengan telatah Richie Rashman sebagai penceramah dan kami juga telah menyediakan kaunter pemeriksaan percuma untuk para peserta yang hadir.

Seramai hampir 100 orang wanita/para ibu telah hadir dan program telah mendapat kerjasama Agensi Kewangan Pengurusan Kredit (AKPK), Lembaga Pembangunan & Penduduk Keluarga Negara (LPPKN) dan Majalah Mingguan Wanita terbitan Karangkraf serta disokong oleh Jabatan Pembangunan Negeri Wilayah Persekutuan dan Koperasi Ukhwah. Penyertaan adalah percuma dan program ini turut diserikan dengan cabutan bertuah.


Terima kasih kepada Puan Nor Akma dan En. Adnan daripada AKPK dan En. Richie Rashman selaku perunding fashion mingguan wanita yang telah hadir sebagai penceramah pada program tersebut.

Wednesday, May 20, 2009

Jalan-jalan di Melaka




Salam semua,

Ramai tertanya-tanya bagaimanakah rutin saya sekarang ni sejak berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Memang benar, aktiviti politik saya semakin kurang berikutan tidak lagi memegang sebarang jawatan di dalam Puteri UMNO. Namun, saya tetap mengikuti dengan rapat setiap perkembangan politik tanahair, terutamanya di dalam Puteri sama ada melalui akhbar-akhbar ataupun teman-teman yang lain. Maklumlah, politik ini sudah sebati dengan darah daging saya, memang sukar untuk dipisahkan lagi.

Namun, pengurangan aktiviti politik ini juga memberi saya lebih masa untuk dihabiskan bersama-sama anak-anak yang selama ini begitu memahami penglibatan aktif saya dalam politik selama ini. Untuk tempoh beberapa bulan yang lalu, saya tidak dapat memberi perhatian sebanyak mana yang saya inginkan kepada mereka kerana jadual aktiviti begitu ketat. Namun tidak sedikit pun sebarang rungutan daripada mereka yang cukup memahami.

Jadi, baru-baru ini saya membawa mereka berjalan-jalan ke Melaka dan ia cukup menyeronokkan untuk kami sekeluarga. Lebih menyeronokkan adalah Irfan yang mendapat pengalaman baru menaiki beca di Melaka. Yelah, di Kuala Lumpur mana lah ada beca. Jadi bila dia dapat peluang untuk menaiki beca yang berwarna-warni, Irfan cukup seronok dan ini menggembirakan lagi saya.

Selain itu, kami juga menaiki "river cruise" menyusuri Sungai Melaka yang mengingatkan saya kepada perkhidmatan gondola di Venice, Itali. Menyusuri Sungai Melaka itu memberi saya beberapa idea bagaimana untuk menarik lebih ramai pelancong menggunakan perkhidmatan "river cruise" ini. Nantilah saya bisik-bisikkan kepada orang-orang Melaka, ye.

Jumpa lagi.

Friday, May 15, 2009

Pengalaman berharga



Salam semua,

Baru-baru ini Irfan mengikuti lawatan sambil belajar ke Pizza Hut, anjuran sekolahnya. Dan hasilnya adalah pizza pertama dia sendiri! Bangga saya melihat Irfan dapat menghasilkan pizza tersebut yang dibuatnya di bawah tunjuk ajar kakitangan Pizza Hut. Aktiviti ini mungkin kelihatan mudah tapi saya percaya ia memberi lebih keyakinan diri kepada Irfan

Saya bersyukur Irfan mendapat peluang seperti ini yang pada saya sangat berharga. Saya percaya setiap kanak-kanak itu mempunyai potensi untu membentuk keyakinan dan keupayaan dirinya, cuma dia memerlukan peluang dan bimbingan yang baik. Sebaik mungkin, saya percaya, kita harus berusaha untuk memberi apa saja peluang, biar sekecil manapun, untuk kanak-kanak itu mencungkil keupayaan dan keyakinan di dalam dirinya.

Lebih menggembirakan saya, lawatan sambil belajar ini "diadakan" di dapur kerana ia dapat memberi pendekatan dan membina persepsi yang berbeza kepada kanak-kanak, terutamanya kepada kanak-kanak lelaki mengenai "dapur". Mungkin dapur di rumah hanya menyaji masakan kasih sayang seorang ibu, tapi di dapur Pizza Hut, mereka menyaksikan suatu sajian masakan yang membentuk perniagaan yang bernilai jutaan dolar setiap tahun. Harap-harap ini akan mencambah inspirasi kepada Irfan :).


Monday, May 11, 2009

63 tahun UUMNO

Salam semua,

Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada parti tercinta UMNO atas sambutan ulang tahun ke-63. Alhamdulillah syukur kita ke hadrat-Nya atas limpah kurnia-Nya maka parti politik terulung untuk orang Melayu masih lagi ada, utuh dan terus mantap dalam menangani pelbagai cabaran baik dari dalam ataupun luar. Di sambutan ulang tahun ini, kita juga harus berterima kasih kepada bapa-bapa pejuang UMNO yang membina asas parti ini, bagi mempertahankan hak-hak orang Melayu, sehinggalah ia menjadi parti politik yang terbesar di Negara ini. Tanpa UMNO ketika itu, mungkin kita tidak memperolehi kenikmatan yang kita rasai sekarang.

Namun, benar seperti kata-kata Perdana Menteri kita, sementelah kita berbangga dengan kekayaan sejarah, tradisi, kejayaan dan kegemilangan UMNO selamat 63 tahun, kita tidak boleh terlalu bernostalgia mengenainya. Ya, kita bangga dengan UMNO, tapi tidak boleh membiarkan kejayaan lalu membuai dan meleka kita daripada berhadapan dengan realiti politik sekarang dan juga akan datang yang jauh beza berbanding 63 tahun yang lalu.

Perjuangan UMNO sekarang mesti seiring dengan perkembangan semasa di mana kehendak ahli-ahli adalah berbeza dan kehendak rakyat juga berbeza. Mungkin asas perjuangan adalah sama, tapi perlaksanaan dan wadahnya berbeza. Ini tidak dapat dielakkan dan perubahan-perubahan ini harus dilakukan bagi memastikan UMNO tetap relevan.

Seperti tradisinya, sambutan ulang tahun disambut dengan bacaan Yassin, majlis tahlil dan doa selamat. Jika kita tidak menyertai majlis-majlis anjuran UMNO, kita tetap boleh melakukannya di rumah bersama-sama keluarga. Rasanya itu lebih afdal dan bermakna agar kita sekeluarga melahirkan rasa kesyukuran dan memanjatkan doa supaya UMNO tetap utuh dan diberi keberkatan dan panduan oleh Illahi.

Kita sedekahkan juga bacaan Yassin dan tahlil kepada pejuang-pejuang UMNO yang telahpun meninggalkan kita. Semoga mereka berada di kalangan orang-orang yang beriman. Amin


Monday, April 13, 2009

Kerdilnya diri ini...


Salam semua,

Setelah tamatnya Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, dapatlah saya meluangkan lebih masa untuk pengajian sarjana saya yang asyik terabai berikutan kesibukan berkempen dan juga aktiviti-aktiviti politik yang lain. Alhamdulillah, pensyarah saya cukup memahami dan teman-teman sekuliah cukup sporting dan sedia membantu serta sentiasa memberi sokongan kepada saya.

Baru-baru ini saya telah membuat pembentangan mengenai terapi keluarga kepada pensyarah di hadapan teman-teman sekuliah. Walaupun saya menghabiskan banyak masa membuat persediaan pembentangan itu dan merasakan ia adalah antara kerja saya yang baik, saya merasakannya diri saya begitu kerdil sekali apabila melihat pembentangan oleh teman sekuliah, Syamsuri yang cacat penglihatannya.

Syamsuri menggunakan mesin Braille yang direka khas bagi membolehkan dia membuat pembentangan seperti pelajar-pelajar lain yang normal penglihatannya (sila lihat gambar). Teruja sekali saya melihatnya membuat pembentangan itu yang membuatkan saya berfikir bahawa saya sangat bertuah diberi cukup sifat oleh Allah, dan jika saya memikirkan kesukaran, saya pasti Syamsuri menempuhi cabaran yang jauh lebih sukar.

Ini jelas menampakkan kesungguhan Syamsuri yang tepat digambarkan dengan peribahasa "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan". Saya percaya ada ramai orang yang seperti Syamsuri di luar sana yang gigih berusaha tanpa membenarkan sebarang kesusahan itu menghalang kemahuan dan cita-cita mereka.

Saya kagum dengan Syamsuri. Saya kagum dengan mereka yang seperti Syamsuri. Mereka ini mencetus keinsafan kepada saya, dan dalam masa yang sama memberi inspirasi kepada saya. Moga mereka akan mencapai cita-cita mereka di dunia dan juga akhirat. Amin.

Thursday, March 26, 2009

Tahniah Ketua Puteri UMNO yang baru

Salam semua,

Saya rasa semua sudahpun mengetahui keputusan penuh pemilihan Ketua Puteri UMNO semalam. Saya ingin ucapkan tahniah kepada Datuk Rosnah sebagai Ketua Puteri yang baru, dan juga kepada Shahanim yang terpilih sebagai Naib Ketua. Tahniah juga kepada kesemua barisan Exco Puteri yang terpilih, semalam. Saya percaya anda semua akan membawa Puteri ke arah yang lebih baik lagi.

Saya juga ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada kesemua penyokong-penyokong dan juga well-wishers yang tidak putus-putus memberi bantuan dan sokongan kepada saya sejak saya menawarkan diri untuk pemilihan ini. Saya sangat sayang anda semua dan mengharapkan hubungan erat kita ini akan terus berkekalan. You all stay with me during the highs and lows, and I really appreciate that.

Namun, agenda paling penting sekarang ini adalah untuk kita merapatkan kembali barisan, mengukuhkan kembali Puteri kerana kita masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan, terutama dengan dua pilihanraya kecil bulan hadapan. Jadi, mari kita tumpukan kepada kerja-kerja di sana dan memastikan Puteri terus utuh dan relevan di mata masyarakat.


Sunday, March 22, 2009

Wawancara...

Salam semua,

Baru-baru ini, saya diwawancara oleh wartawan. Berikut adalah soal jawabnya.

1. Apakah sebab tawarkan diri untuk bertanding?

Saya menawarkan diri untuk bertanding kerana saya sayangkan Puteri!

Sebelum pemilihan, hasrat untuk bertanding timbul sejak pada awal tahun 2007. Ramai rakan pada akar umbi menggalakkan saya bertanding namun saya tidak mengambil berat mengenainya pada peringkat awal kerana saya melihat bahawa jawatan Ketua Puteri UMNO Malaysia adalah satu amanah berat yang harus dipikul dengan komitmen dan kesungguhan yang tinggi. Saya juga berpendapat seseorang pemimpin yang berhasrat untuk bertanding jawatan ini seharusnya ikhlas di dalam memperjuangkan kepentingan Puteri dan generasi Wanita Melayu Muda pada masa kini.

Selain dari itu saya menawarkan untuk bertanding kerana saya yakin bahawa saya dapat membawa pembaharuan di dalam pergerakan ini. Kini kita sedang berdepan dengan pengaruh pembangkang yang semakin ketara. Walaupun kita kita tahu bahawa isu-isu yang dibawa oleh pihak pembangkang adalah sandiwara semata-mata untuk meraih sokongan jangka masa pendek rakyat namum kita ia tidak boleh dipanding ringan. Apa yang paling penting ialah melakukan perubahan ketara agar golongan wanita muda dapat merasa manfaat yang dibawa oleh sayap Puteri.

2. Apa yang akan dilakukan pada pergerakan Puteri Umno bila Datin dipilih?

Misi saya adalah untuk melahirkan generasi pimpinan Puteri yang seimbang dalam memperkasakan Puteri UMNO. Saya berpendapat sebelum kita merangka apa jua pelan induk yang dapat membantu Puteri dari segi fizikal, perkara yang asas adalah kekuatan dalaman Puteri itu sendiri.

Saya mahu melahirkan ahli-ahli Puteri yang boleh memimpin, bukannya hanya pandai bercakap, berucap di khalayak ramai dan memberi kenyataan retorik tetapi memiliki jati diri dan kepimpinan dalam pengurusan dan pentadbiran. Ini adalah kerana keupayaan mengurus dan mentadbir juga penting untuk seseorang ahli Puteri itu memimpin secara efektif bukan sahaja pergerakan Puteri di peringkat cawangan, malah juga di peringkat bahagian, negeri dan kebangsaan.

Saya amat percaya bahawa pemimpin yang agung perlu mempunyai personaliti dan ketrampilan diri yang seimbang baik duniawi ataupun rohani. Di dalam dunia yang global ini, mereka juga harus sentiasa mengikuti perkembangan dan kemajuan edaran zaman jika mereka hendak terus relevan dari kacamata generasi muda. Dalam masa yang sama pemimpin yang efektif juga harus sentiasa mempunyai kesedaran mengenai sejarah dan budaya ynag boleh diterima oleh rakyat. Dengan cara inilah mereka akan dapat diterima oleh masyarakat sekeliling.

Dalam jangkamasa sederhana dan panjang, saya ingin membantu memperkasakan ahli-ahli Puteri di semua peringkat di dalam aspek pendidikan, ekonomi, social dan politik. Saya hendak membawa keluar ahli-ahli Puteri dari persepsi umum bahawa Puteri adalah kumpulan sokongan kepada parti UMNO. Dan saya lihat salah satu caranya adalah melalui pendidikan. Seseorang yang berilmu akan dapat mengkaji dan menapis apa jua informasi yang disalurkan kepadanya. Generasi muda akan tidak mudah terpengarauh dengan dakyah yang cuba disampaikan untuk tujuan mengelirukan pemikiran mereka. Selain daripada itu saya yakin, apabila seseorang itu berilmu, mereka akan terdedah kepada budaya berfikir dan keupayaan melontarkan idea-idea yang bernas dan pragmatik justeru itu dapat meningkatkan tanda hormat kepada mereka. Bermula daripada inilah Puteri akan dilihat penting dan bukan sekadar kumpulan sokongan.

3. Apakah kelebihan yang ada pada diri Datin yang boleh meyebabkan perwakilan memilih datin?

Saya adalah seorang yang kuat bekerja berbanding dengan calon-calon lain dan sentiasa konsisten di dalam apa jua yang saya lakukan. Prinsip saya apabila memegang sesuatu jawatan, saya haruslah buat yang terbaik memenuhi amanah yang diberikan kepada saya. Saya tidak mahu dilihat sebagai pemimpin yang hangat-hangat tahi ayam bila memperjuangkan sesuatu isu. Komitmen saya diperlihatkan melalui kekerapan saya turun ke akar umbi berkongsi pendapat dan menyelesaikan isu yang ada.

Selain daripada itu, saya sering meletakkan “benchmark” yang tinggi ke atas diri saya baik dari pencapaian semasa ke pencapaian yang akan datang. Oleh yang demikian ia menyebabkan saya secara tidak langsung berfikir secara kreatif dan inovatif di dalam menyelesaikan sesebuah isu atau menganjurkan sesuatu program. Ini kerana saya mahupun apa yang dilakukan oleh saya menjadi kelainan daripada apa yang dilakukan setiap individu lain secara konvensional. Justeru itu, saya yakin, kelainan inilah yang akan menjadi aset untuk saya menarik perhatian dan minat ahli Puteri dan generasi wanita melayu muda untuk terus bersama perjuagan UMNO.

Saya berhasrat untuk mengubah sesetengah budaya yang sedai ada yang kini kurang relevan dan membawa kelainan jika bercakap tentang penerimaan umum terhadap Puteri dan UMNO umumnya. Saya mahu mengurangkan jurang komunikasi di antara sesama ahli. Saya hendak melihat semua ahli tidak kira taraf pendidikan mahupun pekerjaan untuk duduk semeja membincangkan topik yang sama. Saya yakin ini jdapat menghidupkan semangat kekitaan sesama ahli dan menimbulkan keterujaan di kalangan ahli Puteri untuk melibatkan diri secara aktif di dalam penganjuran aktiviti, lontaran idea dan juga bersama-sama berusaha kearah merealisasikan misi bersama kami.

4. Apakah yang boleh Datin sumbangkan pada Puteri untuk mengembalikan sokongan orang Melayu kepada Umno dan BN pada pilihanraya akan datang?

Meningkatkan daya saing ahli Puteri dan generasi wanita melayu muda kuhususnya agar mereka dapat berdaya saing pada zaman global ini. Ini dapat dilakukan melalui:

• Meningkatkan tahap sosial ekonomi wanita muda melalui kegiatan keusahawanan.

• Meningkatkan latihan-latihan skil kepada wanita muda agar mereka menjadi lebih kompetitif di zaman global dan glokal ini.

• Berkerja rapat dengan kementerian yang terlibat agar program-program yang dijalankan dapat disertai oleh wanita muda dan seterusnya memanfaatkan mereka.

• Memastikan nasib wanita muda dan Puteri senantiasa dibela dan dipandang berat oleh parti dan kerajaan pemerintah.

5. Dikatakan hubungan Puteri dan Wanita tidak berapa baik..mengapa ia berlaku dan ada tak cara hendak memperbaiki hubungan itu?

Saya berpendapat bahawa adalah tidak benar bila mana kita mengatakan hubungan Puteri dan Wanita tidak berapa baik. Sejak saya menyertai sayap Puteri, saya sentiasa mempunyai hubungan yang baik dengan Wanita. Kami sering bertukar-tukar pendapat di dalam isu-isu penting baik nasional atau setempat. Bak kata pepatah lama, “Jika masuk kandang kambing, kita mengembek, masuk kandang rimau , kita mengaum”.


5. Adakah Datin meminta restu atau mendapat nasihat dari mantan Ketua Puteri Umno sebelum ini seperti Datuk Seri Azalina dan Datuk Noraini Ahmad?

Sebelum saya menawarkan diri untuk bertanding, saya telah mendapatkan sebanyak mungkin pendapat dan komen berhubung hasrat saya ini. Ini adalah kerana saya amat sedar bahawa jawatan Ketua Puteri UMNO Malaysia bukan suatu yang boleh dipandang mudah kerana ia adalah amanah untuk mengetuai lebih 300,000 ahli pergerakan ini. Isu sama ada saya mendapat nasihat dari mantan Ketua Puteri sebelum ini tidak timbul kerana apa yang penting ialah sama ada seseorang itu dapat menyumbang kepada peningkatan akar umbi dan sama ada seseorang itu diterima ahli akar umbi. Penerimaan inilah yang penting kerana ia dapat memberi kewibawaan kepada seseorang calon untuk menyumbang kearah kebaikan pegerakan Puteri.

Thursday, March 5, 2009

Pusingan akhir...


Salam semua,

Hampir sebulan saya tidak update blog ni. Aduh... kesibukan saya yang amat sangat ketika ini apatah lagi sekarang sudah memasuki pusingan akhir bagi pertandingan bagi jawatan Ketua Puteri UMNO, menjelang Perhimpunan Agung UMNO di penghujung bulan ini.

Selain sibuk berkempen dan bertemu ahli-ahli Puteri di seluruh negara dalam beberapa siri jelajah, saya juga terlibat dalam beberapa perancangan dalam persediaan pilihanraya kecil di Bukit Gantang dan juga Bukit Selembau.

Selain itu, program-program lain juga berjalan termasuk Tayangan Amal "Maut" Untuk Gaza yang akan diadakan di GSC Pavillion malam esok Jumaat 6 Mac 2009, jam 8 malam. Saya harap ramai yang akan hadir untuk memberi sokongan kepada tayangan amal ini yang hasil kutipannya akan disalurkan untuk membantu mangsa kekejaman Israel di Gaza.

Ok, kad calon saya pun dah siap dan no saya adalah No 1. Sesetengah teman mengusik bahawa no itu diharapkan menjadi tuah kepada saya. Moga-moga begitulah tapi ia hanya sekadar nombor kerana yang lebih penting adalah majoriti perwakilan Puteri nanti akan memangkah nombor ini.

Nombor ini mewakili saya, mewakili aspirasi dan cita-cita saya untuk Puteri UMNO Malaysia, setelah sekian lama berbincang dan mendapatkan maklumbalas daripada ahli-ahli Puteri. Saya percaya apa yang saya ingin bawakan ini adalah sejajar dengan kehendak majoriti ahli-ahli dan saya perlukan sokongan anda semua untuk merealisasikannya.

Ok, enough of talking kerana saya harus bergerak sekarang untuk bertemu lebih ramai lagi ahli-ahli di pusingan akhir kempen ini. Jika anda ingin bertemu saya, bila-bila masa boleh hubungi saya di 012-3373311 ataupun pu3ina@yahoo.com.


ralat : oppsss..silap, malam ni jumpa di GSC MID-VALLEY dan bukannya PAVILLION